KLANG - Mayat yang ditemukan terapung di perairan Perak pada Khamis disahkan seorang daripada mangsa bot pemancing karam iaitu Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pada jam 4.26 petang, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada sebuah bot nelayan berhubung penemuan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung.
Menurutnya, kira-kira jam 5.05 petang, KM Nusa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak tiba di lokasi dan mengesahkan penemuan mayat tersebut.
"Hasil pengecaman awal oleh salah seorang waris berdasarkan gambar serta kasut yang dipakai mangsa, mayat tersebut dipercayai sebagai Muhammad Ridzuan bin Ruhaizat, 37, iaitu salah seorang daripada dua mangsa yang masih hilang.
"Mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan seterusnya akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan bedah siasat serta tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, dengan penemuan terbaharu ini, enam daripada tujuh mangsa telah ditemui.
Katanya, empat dijumpai dalam keadaan selamat dan dua meninggal dunia.
"Seorang lagi mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, masih belum ditemui," ujarnya.
Tambahnya, Operasi SAR disambung semula pada jam 7 pagi, Jumaat dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan bagi meneruskan usaha mengesan mangsa terakhir.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan sebuah bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong di perairan Klang Ahad lalu dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.
Kejadian berlaku ketika keadaan cuaca dilaporkan ribut dan ombak kuat melanda kawasan perairan berkenaan.
Operasi SAR kemudian digerakkan selepas satu laporan diterima polis kira-kira jam 2.30 pagi, Isnin apabila kumpulan pemancing itu belum kembali selepas keluar dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang.
Siasatan awal mendapati kumpulan pemancing termasuk seorang tekong bot telah keluar dari Jeti Sementa pada jam 8.20 pagi, Ahad lalu dengan menaiki sebuah bot fiber dan dijangka kembali pada sebelah petang hari yang sama.