Dua lelaki ditahan bersama air, daun ketum bernilai hampir RM40,000

Iklan
Bungkusan air dan daun ketum yang dirampas susulan penahanan dua suspek, Selasa lalu. Foto Facebook Briged Tenggara

KUANTAN - Dua lelaki ditahan bersama air dan daun ketum dianggarkan bernilai hampir RM40,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Batu 7, Jalan Gambang di sini Selasa lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, Op Taring Mitra kira-kira jam 11 dijalankan pegawai dan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA selepas menerima maklumat berhubung aktiviti disyaki memproses dan menjual air ketum di rumah terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan tersebut, dua suspek berusia 33 dan 43 tahun ditahan.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan, pasukan serbuan menemui dan merampas 760 liter air ketum, 355 kilogram daun ketum dan peralatan digunakan dalam kegiatan tersebut.

Iklan

"Hasil soal siasat awal mendapati salah seorang suspek terlibat sebagai tukang merebus dan membungkus air ketum sejak tahun 2024 dengan upah RM200 sehari," katanya.

Bungkusan air dan daun ketum yang ditemui dalam rumah disyaki digunakan sebagai tempat memproses dan menjualnya. Foto Facebook Briged Tenggara PGA

Ahmad Radzi berkata, kedua-dua tangkapan dan semua barang rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.

Beliau berkata, risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras kegiatan itu di sekitar daerah ini di samping mengenal pasti rangkaian bekalan yang terlibat.