TEHERAN - Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Isnin mendakwa yang serangan peluru berpandunya menyasarkan pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, serta kediaman Komander Tentera Udara Israel, Tomer Bar.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh saluran rasmi Sepah News, IRGC berkata serangan"bersasar dan mengejut” itu dilaksanakan menggunakan peluru berpandu balistik Kheibar buatan tempatan.
Peluru berpandu Kheibar yang diperkenalkan dan diuji pada Mei 2023, mempunyai jarak jangkauan 2,000 kilometer dan keupayaan membawa kepala peledak seberat 1,500 kilogram.
IRGC bagaimanapun menyatakan yang nasib Netanyahu tidak diketahui setakat ini, sambil menjelaskan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Pada Sabtu pagi, serangan udara bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Teheran dan beberapa bandar lain di Iran dilaporkan mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei bersama beberapa anggota keluarganya, komander kanan tentera dan orang awam.
Iran kemudian bertindak balas menerusi beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan AS di seluruh Asia Barat. - Bernama