Dua beradik maut nahas: Siti Nur Zulaikha mahu kasut raya putih

Iklan
Siti Asiah (tengah) menyaksikan pengebumian jenazah dua anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Yan, Kedah.

YAN - Pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal yang maut dalam kemalangan bersama abangnya meminta agar dibelikan kasut berwarna putih untuk Hari Raya Aidilfitri.

Ibu mereka, Siti Asiah Abdul Halim, 46, berkata, pada mulanya dia tertanya-tanya mengapa anak ketiga daripada enam beradik, Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, memintanya membelikan kasut putih untuk hari raya kali ini.

Iklan
Iklan

"Dia kata memang nak sangat kasut putih... macam kasut jururawat itu... tapi tak sangka itu permintaan terakhirnya sebelum pergi buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang Ahad, Siti Nur Zulaikha dan abangnya, Luqman Nulrois, 19, sedang dalam perjalanan menghala ke Bertam melalui Lebuhraya Utara-Selatan sebelum motosikal yang dinaiki melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di kiri jalan.

Iklan

Kedua-dua beradik itu bertolak dari rumah mereka di Kampung Teroi, Yan, Kedah menuju ke Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang untuk pulang ke asrama.

Jenazah Siti Nur Zulaikha dan dan abangnya, Luqman Nulrois dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Yan.

Iklan

Menurut Siti Asiah, anak kedua dan ketiga daripada enam beradik itu pulang bercuti hujung minggu untuk bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga di rumah sebelum bertolak ke asrama pada petang Ahad.

"Lepas itu, tidak lama kemudian, cikgu mereka menghubungi saya dan bertanya sama ada saya sudah tahu atau tidak anak-anak saya kemalangan.

"Saya kata tidak tahu dan bila dengar kemalangan pun saya sudah ketar satu badan... jadi saya beritahu suami sebelum dia menghubungi guru anak saya... tidak lama kemudian ada orang menghubungi memaklumkan anak saya yang perempuan itu sudah meninggal dunia manakala seorang lagi dalam ambulans," katanya.

Siti Asiah berkata, disebabkan jalan ketika itu sesak, dia dan suami tidak sempat sampai awal dan terpaksa meredah kesesakan untuk tiba di lokasi kejadian.

Belum pun sempat sampai ke lokasi, dia dimaklumkan anak lelakinya pula meninggal dunia.

Jenazah dua beradik selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi selepas solat Zohor.

Menurutnya, setiap kali Luqman pulang ke rumah, dia pasti akan bercerita kisah rakan-rakannya di asrama, tetapi kali ini dia pulang dalam keadaan diam dan tidak banyak bercakap.

Jelasnya, walaupun keluarga dalam keadaan sedih, namun mereka tetap reda menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini tanpa kedua-dua anaknya.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik itu maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar MPV yang diletakkan di kiri jalan ketika melalui Lebuhraya Utara-Selatan pada Ahad.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi selepas solat Zohor.