ALOR SETAR – Polis menahan tiga lagi suspek lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap kenderaan yang dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan adalah seramai 10 orang setakat ini.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 44 hingga 58 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bukit Aman.
“Polis turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isinin.
Jelasnya, hasil saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut turut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya lagi, ketiga-tiga suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sebelum ini media melaporkan, polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Thailand yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek dalam serbuan Ops Tutup yang dilancarkan dari jam 10.30 pagi hingga 6 petang pada hari kejadian.
Kesemua individu terbabit berusia antara 22 hingga 52 tahun.
Polis kini giat meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan sekiranya terdapat individu lain yang terlibat dalam kes berkenaan.