Letupan kedengaran di pangkalan tentera AS - Warga Malaysia

Iklan
Imej UGC yang disiarkan di media sosial pada 28 Februari 2026 dan disahkan oleh pasukan AFPTV di Paris, menunjukkan detik serangan Iran ke atas pangkalan AS di Bahrain - Foto: AFP

LABUAN - Warga Malaysia yang bekerja di Bahrain melalui detik cemas apabila dua letupan kedengaran berhampiran pangkalan Tentera Amerika Syarikat (AS) di Juffair pada 28 Februari lepas ketika ketegangan di Timur Tengah meningkat, susulan serangan AS-Israel terhadap Iran.

Muhamad Nizam Shaidon, 43, yang menetap di Juffair bersama isteri dan dua anak perempuannya berkata, letupan pertama berlaku pada 11.38 pagi (waktu Bahrain), diikuti satu lagi letupan pada 11.50 pagi di lokasi yang sama.

Iklan
Iklan

"Kami di rumah ketika itu, ia bunyi letupan itu amat kuat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi melalui panggilan video hari ini.

Nizam berkata, ketika letupan pertama, anak perempuannya yang berusia 10 dan 13 tahun sedang mengikuti kelas al-Quran dalam talian, manakala isterinya, Norhani Aida Mohd Nor, 42, sedang melakukan kerja-kerja rumah.

Iklan

"Kami terus berada di dalam rumah dan memantau situasi. Kemudian, satu lagi letupan kedengaran dari arah yang sama,” katanya.

Juffair menempatkan pangkalan kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah fasiliti ketenteraan utama di rantau Teluk.

Iklan

Sebagai langkah berjaga-jaga, Nizam dan keluarganya kini menetap sementara di sebuah hotel dan dia bekerja dari rumah buat sementara waktu, serta sentiasa memantau perkembangan dan maklumat terkini menerusi Kedutaan Malaysia di Bahrain.

"Kedutaan amat membantu dengan menyediakan maklumat dan kemas kini secara berkala …,” katanya yang turut menghubungi keluarganya di Malaysia bagi memaklumkan keadaan mereka.

Beliau berkata, kedutaan juga telah menubuhkan satu kumpulan WhatsApp untuk menyebarkan maklumat rasmi kepada lebih 4,000 rakyat Malaysia yang menetap di Bahrain.

"Kami berharap ketegangan ini akan berakhir secepat mungkin supaya kehidupan dapat kembali normal di Bahrain, terutamanya komuniti Malaysia di sini,” kata Nizam, yang sebelum ini pernah berkhidmat di Labuan sebelum berpindah ke Bahrain lebih 10 tahun lepas.

Beliau juga menasihati rakyat Malaysia di luar negara supaya bertenang, mengelak daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan sentiasa berhubung dengan kedutaan masing-masing. - Bernama