JOHOR BAHRU - Seorang remaja perempuan maut manakala ibunya parah selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Masai Lama, Masai di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku jam 10.20 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
"Motosikal berkenaan ditunggang seorang wanita berusia 20 tahun, pembonceng pula adalah ibunya yang berusia 47 tahun.
"Semasa kejadian mangsa sedang menunggang melalui lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya parah dan kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Siasatan lanjut masih dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.