KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam wanita sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini direman selama enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang kepada penghuni pusat tersebut.
Perintah reman sehingga 7 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan sekerja lelaki berusia 40-an kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada Ahad.
Bagaimanapun, katanya suspek lelaki berkenaan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Isnin atas faktor kesihatan.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025.
"Mereka dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut sebagai balasan membawa masuk barang terlarang," katanya di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, sumber berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari.
"Wang rasuah tersebut diterima melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing serta akaun pihak ketiga," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau menambah, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.