Menolak media sosial bukan penyelesaian

Iklan
Data SKMM menunjukkan sebanyak 143 kes eksploitasi kanak-kanak dilaporkan antara 2022 hingga pertengahan 2024. Foto hiasan

SAYA pernah terdengar seorang rakan berkata, budak-budak zaman sekarang ini jenis berani. Sebab itulah banyak kes 'sexual grooming' yang bermula di media sosial berlaku dalam kalangan mereka.

Mungkin ada betulnya kerana kita pernah dikejutkan dengan kes seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 terlibat aktiviti seks bersama dua pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.

Iklan
Iklan

Statistik semasa turut menunjukkan situasi membimbangkan. Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan sebanyak 143 kes eksploitasi kanak-kanak dilaporkan antara 2022 hingga pertengahan 2024. Pada 2023 sahaja, terdapat 525 kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak berkaitan media sosial.

Platform digital juga menerima ratusan permohonan menurunkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Iklan

Risau, bukan? Insiden dan laporan seperti ini memang merunsingkan kita sebagai ibu bapa. Memetik kata-kata ahli sejarah Norway yang juga seorang pendidik Christian Lous Lange, “Teknologi adalah hamba yang berguna tetapi ‘tuan’ yang berbahaya.”

Tidak hairanlah sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak kini semakin meluas ke seluruh dunia. Australia meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian.

Iklan

Syarikat induk Facebook iaitu Meta menyatakan bahawa sebanyak 550,000 akaun telah dinyahaktifkan selepas perubahan itu, termasuk 330,000 (Instagram), 173,000 (Facebook) dan 39,000 lagi di Threads.

Pada 2023, Perancis memperkenalkan undang-undang melarang kanak-kanak bawah 15 tahun daripada akses perkhidmatan dalam talian tanpa kebenaran penjaga.

Negara itu bersama Sepanyol dan Greece melancarkan rancangan menetapkan had usia minimum seragam kepada golongan bawah usia mengakses platform media sosial di seluruh Kesatuan Eropah yang turut mendapat sokongan Denmark, Slovenia serta Cyprus.

Beberapa negara Eropah sejak itu mengambil langkah melaksanakan tindakan serupa. Denmark menandatangani resolusi pada 7 November lepas yang melarang pengguna bawah 15 tahun daripada mengakses platform media sosial.

Sepanyol meluluskan rang undang-undang pada Jun 2024 untuk menaikkan umur sah bagi persetujuan perlindungan data daripada 14 kepada 16 tahun, manakala Perancis dan Norway sudah mula mengenakan had yang dikaitkan dengan tahap kematangan digital.

Di Turkiye, Perhimpunan Agung Kebangsaan sedang membincangkan kemungkinan melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 15 tahun.

Kanak-kanak bawah 18 tahun di China pula tertakluk kepada sekatan penggunaan aplikasi data mudah alih, termasuk had akses kepada aplikasi tertentu pada waktu khusus selain hanya dibenarkan melihat kandungan yang diluluskan Pentadbiran Ruang Siber China.

Versi TikTok di China, Douyin mengaktifkan mod kanak-kanak untuk pengguna bawah 14 tahun, yang mengutamakan kandungan pendidikan seperti eksperimen sains dan pameran muzium.

Bagaimanapun, timbul persoalan lain sekiranya cadangan mengehadkan akses media sosial kepada kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dilaksanakan.

Sekatan ketat boleh mendorong remaja yang sentiasa rebel - mencari alternatif melalui platform tidak dipantau, akaun palsu atau ruang digital tersembunyi yang lebih berbahaya dan sukar dikawal.

Ia sekali gus mencetuskan masalah sosial lain. Walaupun mereka sudah mampu untuk berfikir, namun mereka tidak memikir kesan yang diterima pada masa hadapan.

Larangan total juga boleh menyebabkan remaja ketinggalan dari segi literasi teknologi yang penting untuk masa depan. Hakikatnya, media sosial adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam era digital.

Media sosial ibarat pedang bermata dua bagi remaja. Ia boleh menjadi alat ekspresi diri dan sokongan sosial, namun boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa kawalan.

Menolak kewujudannya bukanlah penyelesaian, tetapi membimbing generasi muda untuk menggunakannya secara beretika dan seimbang adalah kunci utama.

*Azmi Tarmizi ialah anak jati Felda Soeharto yang pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri dan kini bertugas sebagai Editor Eksekutif di Sinar Harian.