DALAM sejarah ada beberapa rejim autoritarian dan diktator yang pernah mencengkam dan menyusahkan kehidupan rakyat.
Pemimpin pertama dalam senarai paling kejam ialah Adolf Hitler, pemimpin rejim Nazi mencetuskan Perang Dunia Kedua menyebabkan 20 juta korban.
Kedua, Joseph Stalin yang memimpin Kesatuan Soviet menyebabkan seramai enam hingga 20 juta terkorban.
Ketiga ialah Mao Zedong di China antara 1949 hingga 1976 yang mengakibatkan kebuluran besar dan mewujudkan Revolusi Kebudayaan mengorbankan sehingga 45 juta orang.
Keempat ialah Pol Pot yang memerintah Kemboja pada 1975 hingga 1979. Angka korban pada zaman tersebut ialah 1.5 hingga dua juta orang yang merupakan hampir suku populasi Kemboja ketika itu.
Yang kelima ialah Kim Il Sung dan Dinasti Kim di Korea Utara. Penguasaan rejim tersebut terus memerintah negara itu hingga ke hari ini.
Korea Utara merupakan sebuah negara totalitarian dengan kawalan penuh terhadap media dan pergerakan rakyat jelata dengan mewujudkan kem buruh politik dan mengakibatkan kebuluran dalam tahun 1990-an dengan anggaran ratusan ribu hingga jutaan korban.
Kesimpulannya, autoritarianisme menjadi paling kejam apabila kuasa politik tidak dibatasi undang-undang, tiada kebebasan media dan budaya takut dijadikan instrumen pemerintahan.
Dalam kebanyakan kes di atas, kekejaman berlaku bukan sahaja kerana ideologi, tetapi kerana ketiadaan mekanisme kawalan kuasa.
Satu cara menghalang pemusatan kuasa begitu besar terhadap seseorang pemimpin dan berlakunya pemerintahan autoritarian dan diktator ialah dengan mengehadkan jawatan pemimpin.
Ini dilakukan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat yang mengehadkan jawatan presiden untuk tempoh dua penggal sahaja iaitu lapan tahun.
Jawatan presiden di Perancis, Indonesia dan Korea Selatan juga hanya dua penggal dengan setiap penggal cuma lima tahun sahaja.
Mexico pula cuma satu penggal sahaja iaitu selama enam tahun dan dibuat kerana negara itu juga pernah mengalami zaman pemerintahan diktator pada abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Pada masa ini, United Kingdom, Malaysia dan Singapura masih membolehkan seseorang perdana menteri memegang jawatan selagi mempunyai majoriti di Parlimen.
Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara ini selama 22 tahun dan kemudian jadi semula perdana menteri untuk kali yang kedua, namun beliau bukanlah diktator.
Negara ini kemudian dipimpin Allahyarham Tun Abdullah Badawi yang merupakan seorang pemimpin lemah lembut dan disayangi rakyat hingga menang besar dalam pilihan raya.
Tetapi pentadbirannya menyebabkan Barisan Nasional kalah besar kerana dasar kerajaan tidak disenangi rakyat.
Pemerintahan diteruskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini meringkuk di penjara kerana skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC Internasional.
Seingat saya pada zaman inilah pembangkang berulang kali mahu tempoh had jawatan perdana menteri diperkenalkan dan sebahagian reformasi.
Pada 23 Februari lalu, kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan bacaan kali yang pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun di Dewan Rakyat.
RUU ini perlu dapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan pindaan pada Perlembagaan Malaysia.
Jadi, perkara yang paling penting dengan melaksanakan reformasi yang besar ini, kita berharap dapatlah Malaysia mempunyai seorang pemimpin yang berkualiti tinggi dan mampu bawa negara jadi hebat dan berjaya pada masa depan.
Tetapi kalau seseorang perdana menteri itu gagal, maka cukuplah rakyat beri pemimpin ini satu penggal sahaja supaya tidak menyebabkan kerosakan besar pada rakyat dan negara.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian