PUTRAJAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat pertambahan hampir 5,000 anggota baharu sejak kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap perjuangan parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun berdepan suasana politik yang disifatkan sebagai ‘riuh rendah’, sokongan terhadap PKR kekal kukuh.
"Kita ada berita baik, dalam keadaan riuh rendah sedikit sebanyak ini, keanggotaan bertambah hampir 5,000 yang baharu.
"Kenaikan itu menunjukkan keyakinan terhadap perjuangan parti masih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini pada Ahad.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar menyeru pimpinan PKR di semua peringkat supaya terus memperkukuh jentera parti serta memperjelas isu yang berpotensi menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, penjelasan yang tuntas dan berfakta amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap parti terus diperkukuh. - Bernama