KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MOD) Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bahawa tentera udara dan pasukan pertahanan udara negara itu setakat ini telah menangani 165 peluru berpandu balistik, dua peluru berpandu krus dan 541 dron Iran sejak bermulanya serangan berkenaan.
Menerusi hantaran di platform media sosial X pada Ahad, kementerian itu memaklumkan bahawa pada pagi hari kedua serangan, tentera udara dan pasukan pertahanan udara UAE telah memusnahkan 20 peluru berpandu balistik, manakala lapan lagi peluru berpandu jatuh ke dalam laut.
"Pasukan keselamatan juga memusnahkan dua peluru berpandu krus dan 311 dron. Bagaimanapun, 21 dron telah melancarkan serangan terhadap sasaran awam. Kementerian menegaskan keupayaan tentera udara dan pertahanan udara UAE untuk menangani pelbagai ancaman," menurut kenyataan itu.
Kementerian menjelaskan bahawa sejak permulaan serangan Iran pada 28 Februari, sebanyak 165 peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran ke arah UAE telah dikesan, dengan 152 daripadanya berjaya dimusnahkan manakala 13 lagi jatuh ke kawasan perairan. Dua peluru berpandu krus turut dikesan dan dimusnahkan.
MOD berkata, sebanyak 541 dron Iran dikesan, dengan 506 daripadanya dipintas dan dimusnahkan, manakala 35 dron lagi jatuh di dalam negara itu sehingga menyebabkan kerosakan material.
"Insiden berkenaan mengakibatkan tiga kematian melibatkan warga Pakistan, Nepal dan Bangladesh, manakala 58 lagi mengalami kecederaan ringan merangkumi warga Emiriah, Mesir, Ethiopia, Filipina, Pakistan, Iran, India, Bangladesh, Sri Lanka, Azerbaijan, Yaman, Uganda, Eritrea, Lubnan dan Afghanistan," menurut kementerian itu.
Kementerian turut menyatakan bahawa terdapat serpihan yang jatuh di pelbagai kawasan di negara itu akibat tindakan sistem pertahanan udara memintas peluru berpandu balistik dan dron, yang membawa kepada kerosakan material kecil hingga sederhana terhadap beberapa hartanah awam.
Kementerian menzahirkan kesediaan penuh untuk menangani sebarang ancaman dan menegaskan bahawa keselamatan warga negara, penduduk serta pelawat kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi. - Bernama