Kanak-kanak rentung: Mangsa dipercayai ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa - Polis

Iklan
Kanak-kanak lelaki yang maut dalam kebakaran di PPR Kampung Muhibbah, dipercayai ditinggalkan bersama lima lagi adik-beradiknya tanpa pengawasan orang dewasa. Gambar kecil: Mohd Rosdi

KUALA LUMPUR - Polis mendedahkan bahawa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, petang Ahad dipercayai ditinggalkan bersama lima lagi adik-beradiknya tanpa pengawasan orang dewasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati dalam kejadian pada 3.40 petang itu, kesemua enam beradik yang berumur antara sembilan bulan hingga 10 tahun itu berada di rumah ketika ibu mereka dipercayai keluar membeli makanan.

Iklan
Iklan

"Jiran yang menyedari kebakaran itu segera bertindak menyelamatkan mangsa, namun gagal menyelamatkan si mati kerana mangsa terperangkap di dalam bilik tidur utama yang telah terbakar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan mayat kanak-kanak malang itu ditemukan rentung selepas kerja-kerja pemadaman dilakukan di tingkat 10 blok perumahan berkenaan.

Iklan

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa peka serta tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian bagi mengelakkan sebarang tragedi tidak diingini. - Bernama

Iklan