SUBANG JAYA – Wayar kabel telekomunikasi dan mesin bitcoin antara 7,445 barang kes bernilai RM1.19 juta yang dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini pada Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Datuk Kahar berkata, pelupusan itu membabitkan 210 kertas siasatan terdiri daripada pelbagai kesalahan termasuk perjudian, perjudian dalam talian, kecurian kabel, rampasan rokok dan minuman keras serta pusat hiburan.
Beliau berkata, sebanyak 186 unit mesin bitcoin dilupuskan bagi kes Op Elektrik, manakala 36 gulung wayar kabel membabitkan kes kecurian kabel telekomunikasi.
"Sebanyak 332 unit komputer dan peranti komputer bernilai RM24,000 bagi kes Op Soga berkaitan perjudian dalam talian juga terbabit dalam pelupusan ini," katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya di sini pada Rabu.
Katanya, pelupusan itu turut membabitkan 3,374 botol arak, 1,500 tin minuman keras dan 822 kotak rokok dengan anggaran nilai keseluruhan RM1,027,411 bagi kes kontraban.
"Sebanyak 21 unit alatan hiburan bernilai RM22,353 serta 1,029 unit barang kes lain-lain jenayah dengan anggaran nilai RM26,372 turut dilupuskan.
"Keseluruhan barang kes berkenaan membabitkan 42 kes pusat hiburan, 11 kes rampasan mesin bitcoin, 22 kes rampasan rokok dan minuman keras, 56 kes perjudian, tujuh kes perjudian dalam talian, tujuh kes kecurian wayar kabel serta 65 kes lain-lain jenayah," katanya.
Jelasnya, pelupusan barang kes ini mendapat kebenaran Majistret Mahkamah Shah Alam mengikut Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).