KANGAR – Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jaya menegaskan, tidak menerima walau satu sen daripada wang yang menjadi pertikaian, jauh sekali menggunakannya untuk kepentingan peribadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu saman RM500,000 oleh KRS Travel Sdn Bhd terhadap Rehla Travel Services Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurutnya, pertikaian itu melibatkan dua entiti perniagaan dalam konteks hubungan kontrak komersial, ia merupakan isu perniagaan dalam rantaian pembelian tiket, bukan isu antara syarikat dengan jemaah haji atau umrah.
Menurutnya, ini kerana tiada jemaah yang menuntut daripada syarikat itu atau dirinya secara peribadi.
“Selain itu, tiada wang jemaah yang diambil untuk kegunaan peribadi dan tiada isu pengabaian kebajikan jemaah dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pertikaian itu timbul akibat kesan luar jangka pandemik Covid-19 serta ketidakcukupan pemulangan dana dalam rantaian kontrak.
Fathul Bari berkata, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham minoriti dalam Rehla Travel manakala rakan kongsinya yang melabur sepenuhnya dengan pemegang saham majoriti.
Beliau berkata, peranannya tertumpu kepada urusan jaringan serta hal ehwal berkaitan di Arab Saudi, manakala segala urusan tiket, kewangan dan operasi harian diurus sepenuhnya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pihak pengurusan syarikat.
Susulan itu katanya, keputusan kewangan dan pembayaran berkenaan dibuat di peringkat pengurusan berdasarkan kedudukan kewangan semasa serta pertimbangan para pelabur.
Menurutnya, dari segi struktur urus niaga, Rehla Travel telah membuat pembayaran deposit dan pembelian tiket penerbangan kepada anak syarikat Malaysia Airlines iaitu Amal yang mengendalikan penerbangan khas umrah dan haji.
Katanya, KRS merupakan antara syarikat terbesar dalam industri yang membuat pembelian tiket daripada Amal secara keseluruhan.
Bagaimanapun katanya, dalam transaksi yang menjadi pertikaian, KRS membeli tiket melalui Rehla Travel sebagai pembekal perantara dan bukan secara langsung daripada Amal.
“Hubungan kontraktual dalam kes itu melibatkan KRS dan Rehla Travel, manakala Rehla Travel pula berurusan secara langsung dengan Amal,” katanya.
Fathul Bari berkata, apabila pandemik Covid-19 melanda, semua penerbangan umrah telah dibatalkan sepenuhnya dan Rehla Travel mengemukakan tuntutan pemulangan deposit serta bayaran tiket kepada Amal berjumlah RM1.8 juta.
Menurutnya, Amal hanya memulangkan sekitar RM1.3 juta sekali gus mewujudkan kekurangan kira-kira RM500,000 daripada jumlah sebenar tuntutan.
Dalam keadaan krisis mencabar ketika itu, katanya, para pelabur berpandangan bahawa, menerima sebahagian bayaran, lebih baik daripada tidak menerima apa-apa maka syarikat bersetuju menerima jumlah tersebut.
“Bagaimanapun, pelabur tetap berpendirian bahawa baki RM500,000 yang tidak dipulangkan itu merupakan jumlah yang secara prinsipnya boleh digunakan untuk menjelaskan bayaran kepada KRS.
“Perbezaan pendirian inilah yang akhirnya membawa kepada tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar wang yang diterima daripada Amal adalah deposit milik pelabur dan berdasarkan persefahaman antara syarikat dan pelabur.
Katanya, tuntutan KRS tidak dapat diselesaikan pada ketika itu atas dasar kedudukan kewangan sebenar serta perbezaan pendirian terhadap baki bayaran yang tidak diterima daripada Amal.
“Keputusan tersebut adalah keputusan korporat syarikat dalam konteks kemampuan kewangan ketika itu,” katanya.
Katanya, wang yang diterima kemudiannya dipulangkan semula kepada pelabur serta sebahagian dana digunakan untuk menjelaskan tuntutan enam syarikat lain yang turut membeli tiket daripada Rehla Travel.
"Wang tersebut bukan milik saya dan tidak pernah berada dalam kawalan atau manfaat peribadi saya," katanya.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi, beliau berkata, beliau menghormati keputusan berkenaan dan perkara itu masih dalam proses rayuan malah peguamnya sedang mengambil tindakan sewajarnya.
“Oleh kerana kes ini berada dalam proses rayuan, saya tidak akan mengulas secara terperinci mengenai dapatan mahkamah bagi mengelakkan sebarang unsur 'sub judice'.
“Kami menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada proses perundangan yang berjalan,” katanya.
Beliau berharap, masyarakat dapat melihat isu itu dalam konteks sebenar sebagai pertikaian komersial antara dua syarikat dalam keadaan luar jangka pandemik dan bukannya isu melibatkan jemaah atau penyalahgunaan dana peribadi.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Fathul Bari dan dua pengarah serta pemegang saham syarikat pelancongan, untuk mengetepikan keputusan yang memutuskan mereka melakukan penipuan hampir RM500,000, enam tahun lalu.
Selain Fathul Bari, dua lagi pengarah dan pemegang saham syarikat Rehla Travel Services Sdn Bhd selaku perayu ialah Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff.
Mahkamh memutuskan demikian berikutan keengganan mereka membayar semula bayaran itu, apabila tiket perjalanan ke tanah suci dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.