TNB lantik Datuk Ir Shamsul Ahmad sebagai Presiden, CEO baharu berkuat kuasa 1 Mac 2026

Iklan
DATUK IR TS SHAMSUL_AHMAD

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Datuk Ir Shamsul Ahmad sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa 1 Mac 2026.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, TNB memaklumkan, Shamsul menggantikan Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2026 selepas berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2024.

Iklan
Iklan

Ketika ini, Shamsul berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pengawalseliaan industri serta mengukuhkan keyakinan pihak berkepentingan bagi menyokong aspirasi jangka panjang TNB.

Dengan lebih 37 tahun perkhidmatan di TNB, beliau membawa pengalaman kepimpinan yang luas merentasi pelbagai portfolio.

Iklan

Sebelum pelantikan, Shamsul merupakan Pengarah Urusan TNB Fuel Sdn. Bhd. dan sebelum itu mengetuai TNB Janamanjung Sdn Bhd selama sedekad.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari North Carolina A&T State University, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional.

Iklan

Lembaga Pengarah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Megat Jalaluddin atas kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, daya tahan kewangan serta penciptaan nilai jangka panjang TNB.

Di bawah kepimpinan beliau, TNB memperkukuh asas terasnya sambil mempercepatkan agenda Peralihan Tenaga bagi menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pihak Lembaga turut mengucapkan tahniah kepada Shamsul atas pelantikannya dan yakin dengan pengetahuan institusi yang mendalam, kepakaran pengawalseliaan serta pengalaman operasinya akan memastikan kesinambungan, memacu transformasi dan terus memperkukuh peranan TNB sebagai juara tenaga nasional Malaysia serta penyedia penyelesaian tenaga mampan terkemuka di peringkat domestik dan antarabangsa.