KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas yang ditemui rentung bersama 70 kucing dalam kebakaran rumah di Jalan Tok Guru pada 25 Januari lalu, dipercayai gagal menyelamatkan diri kerana faktor usia dan masalah penglihatan.
Jasad Fatimah Mat Said, 89, ditemukan di bahagian dapur rumah pusaka dua tingkat berusia lebih 100 tahun itu.
Anak angkat mangsa, Norhaeda Azahari, 54, berkata, arwah sebenarnya masih boleh berjalan walaupun mata kiri sudah buta sejak berusia 60-an manakala mata kanan pula rabun.
“Kalau dalam rumah, dia sudah biasa dengan kedudukan perabot, di luar sahaja perlu dipimpin ditambah kudrat pula lemah kerana sudah lanjut usia.
“Ketika kejadian arwah dipercayai berada di dapur (tingkat bawah) dan tak sempat keluar ke pintu depan yang biasanya tidak berkunci pada waktu siang.
“Mungkin sebab asap tebal dan api pun dah marak, itu yang dia terperangkap,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Norhaeda, sangkar kucing pula ditempatkan di bahagian belakang rumah namun tidak menghalang laluan keluar.
Dia menyifatkan kehilangan itu amat perit kerana arwah sudah dianggap sebagai ibu sendiri selepas ibu bapa kandung meninggal dunia.
“Arwah ni waktu muda bekerja sebagai tukang masak di kedai ibu bapa saya dan menyewa rumah kami ini.
“Walaupun dia ada lapan anak, tetapi dia tetap nak tinggal di rumah ini, jadi saya tolong jaga dia dan memberinya makan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata, hasil laporan awal siasatan mendapati punca kebakaran dipercayai berpunca daripada pepasangan elektrikal yang lama.
“Kebanyakan kediaman lama masih menggunakan sistem pendawaian asal yang tidak lagi sesuai dengan penggunaan peralatan elektrik masa kini.
“Orang ramai boleh rujuk mereka yang berkompetensi atau kontraktor bertauliah bagi membuat semakan pendawaian elektrik di rumah,” katanya.