ADA tragedi yang mengejutkan. Ada tragedi yang menyedihkan. Dan ada tragedi yang memalukan kita semua.
Insiden lima beranak di Cherating, Pahang bukan sekadar berita jenayah tetapi satu malapetaka sosial. Ia adalah kegagalan bertingkat termasuk kegagalan sistem, kegagalan masyarakat, dan kegagalan kita sebagai manusia yang hidup saling bersebelahan tetapi tidak lagi saling melihat.
Di dalam rumah itu, seorang ibu mungkin sempat memanggil nama anaknya. Seorang anak kecil mungkin tidak sempat memahami mengapa dunia tiba-tiba menjadi gelap. Dan seorang lelaki, yang suatu ketika dulu mungkin pernah ketawa bersama keluarganya, akhirnya menjadi runtuhan kepada segala yang pernah menjadi sebab untuk dia hidup.
Kita membaca berita ini di telefon, menggelengkan kepala dan meneruskan hidup seperti biasa. Hakikatnya, tragedi seperti ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah kemuncak kepada keruntuhan yang berlaku perlahan-lahan, di hadapan mata masyarakat yang tidak lagi melihat dan di dalam sistem yang tidak lagi merasakan.
Kita membina negara dengan struktur. Kita membina keyakinan bahawa selagi sistem itu wujud, dengan adanya dasar, dengan adanya bantuan, dengan adanya institusi, maka semua akan dilindungi. Inilah yang kadang-kadang menjadi ilusi yang membuat kita mampu tidur lena setiap malam bersama keyakinan bahawa dunia ini masih terkawal.
Negara telah berusaha membina jaringan keselamatan itu melalui bantuan bersasar seperti STR dan SARA, dengan peruntukan RM15 bilion yang memanfaatkan lebih sembilan juta penerima, termasuk penyaluran bantuan terus melalui MyKad sehingga RM200 sebulan, sebagai sebahagian usaha berterusan menoktahkan kemiskinan secara berperingkat.
Namun, kewujudan sistem tidak secara automatik menjamin setiap manusia akan diselamatkan tepat pada waktunya. Kerana di antara dasar dan manusia, wujud satu ruang yang tidak dapat diisi oleh dokumen atau peruntukan semata-mata. Ruang itu hanya boleh diisi kehadiran manusia lain.
Friedrich Nietzsche pernah mengungkapkan bahawa tamadun manusia sentiasa berdiri di atas dua lapisan di mana satu lapisan ketertiban yang memberi kita rasa selamat, dan satu lagi lapisan penderitaan yang wujud secara senyap di bawahnya. Kita hidup dengan mempercayai lapisan pertama, kerana untuk melihat sepenuhnya lapisan kedua memerlukan keberanian yang tidak semua orang miliki.
Tragedi di Cherating, Pahang adalah saat di mana lapisan itu mulai retak. Kerajaan telah membina sistem. Ada bantuan tunai. Ada jabatan kebajikan. Ada pusat khidmat masyarakat. Ada masjid, ada surau, ada komuniti. Ekosistem itu wujud, dibina dengan niat bahawa tiada siapa yang harus dibiarkan tertinggal di belakang. Tetapi di dalam rumah itu, tiada siapa yang sampai tepat pada waktunya.
Hal ini bukan tentang kegagalan dasar semata-mata. Ini adalah kegagalan pelaksanaan. Dan lebih menyakitkan, ini adalah kegagalan empati.
Sistem sosial kita hari ini terlalu bergantung kepada mereka yang lemah untuk meminta pertolongan, sedangkan kelemahan itu sendiri sering membunuh keberanian untuk meminta bantuan. Tidak semua lelaki yang sedang jatuh mempunyai kekuatan untuk datang mengetuk pintu pejabat kebajikan dan berkata, “Saya tidak lagi mampu bertahan.” Mereka lebih memilih diam dan meneruskan kehidupan seperti biasa sehingga pada satu hari, mereka tidak lagi mampu membezakan antara bertahan dan berakhir.
Dan hakikat yang paling sukar diterima ialah bahawa penderitaan manusia jarang berlaku di tempat yang jauh. Ia berlaku di rumah sebelah. Ia berlaku dalam kariah yang sama di mana masyarakatnya berkongsi masjid, jalan dan langit yang sama. Kita telah membina struktur yang membuat kita percaya jika seseorang benar-benar menderita, pasti ada tanda yang nyata.
Tetapi tragedi ini membuktikan sebaliknya, bahawa seseorang, bahkan seorang nakhoda keluarga boleh tenggelam sepenuhnya. Tragedi seperti ini memaksa kita melihat bahawa di sebalik angka berjuta penerima bantuan, masih ada yang tercicir tanpa disedari sesiapa.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya