Lantikan Dr Sam isyarat peralihan generasi dan politik berasaskan prestasi

Iklan
Ahmad Samsuri

PELANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) pada 22 Februari lalu bukan sekadar pertukaran jawatan dalam struktur gabungan politik.

Ia menandakan peralihan generasi, perubahan gaya kepimpinan dan kemunculan pendekatan yang lebih teknokrat serta berasaskan prestasi.

Iklan
Iklan

Reaksi hangat di media sosial susulan pelantikan ini boleh difahami dalam konteks politik Malaysia yang lazimnya bergolak apabila muncul tokoh baharu yang sukar diserang.

Kritikan bahawa beliau “tidak mempunyai wow factor” lebih mencerminkan kecenderungan politik lama yang menilai kepimpinan melalui retorik dan sensasi.

Iklan

Sedangkan dalam suasana rakyat semakin menuntut kecekapan dan integriti, ukuran sebenar terletak pada kemampuan mentadbir secara berkesan dan konsisten.

Dari sudut strategi, langkah ini memperlihatkan usaha PN memperkukuh kedudukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Selain mengekalkan sokongan teras, pelantikan ini berpotensi memperluas daya tarikan kepada segmen pengundi yang mahukan kepimpinan lebih sederhana dan profesional.

Iklan

Dr Sam tampil dengan imej yang relatif bersih daripada kontroversi besar atau kes mahkamah satu kelebihan penting dalam landskap politik yang sensitif terhadap isu integriti.

Menariknya, penghargaan terhadap beliau tidak terhad dalam kalangan penyokong sendiri. Peguam Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Borhan dari UMNO Ketereh, misalnya, menyifatkan pelantikan pengerusi PN yang bukan dalam kalangan presiden parti sebagai tanda keberanian memecah tradisi dan menerima pembaharuan.

Beliau turut menilai Dr Sam sebagai pemimpin profesional berusia 55 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah atau keceluparan kenyataan, sekali gus mencerminkan kepimpinan yang lebih terkawal dan tersusun.

Pandangan serupa turut datang daripada pemerhati yang sering kritikal terhadap Pas seperti Fathi Aris Omar, yang pernah menyatakan bahawa Pas terlalu lama “mendayung kapal tetapi menyerahkan kapten kepada orang lain”, dan melihat Dr Sam sebagai tokoh sesuai untuk parti itu tampil lebih yakin dengan kepimpinan sendiri.

Apabila penilaian positif datang daripada spektrum berbeza termasuk lawan politik dan penganalisis bebas ia memberi isyarat bahawa pelantikan ini mempunyai makna yang melangkaui kepentingan dalaman parti.

Rekod beliau sebagai Menteri Besar Terengganu sejak 2018 turut mengukuhkan asas kepimpinan tersebut.

Dalam tempoh itu, beliau mengurus negeri yang berdepan kekangan hasil serta tuntutan pembangunan yang kompleks, namun mengekalkan kestabilan pentadbiran tanpa skandal besar. Pengalaman ini bersifat substantif kerana lahir daripada tanggungjawab sebenar membuat keputusan dan mengimbangi keperluan pembangunan dengan kestabilan sosial.

Selain itu, latar belakang akademik beliau menjadi nilai tambah yang signifikan. Dalam konteks politik semasa, pemimpin berpendidikan tinggi sering dikaitkan dengan pemikiran yang tersusun, daya analitikal yang tajam dan keupayaan menilai isu dasar secara rasional serta berasaskan fakta.

Dalam era yang menuntut keputusan berteraskan data dan tadbir urus yang teliti, kelebihan ini memperkukuh lagi kredibiliti kepimpinan beliau.

Dari sudut usia, beliau juga berada pada tahap yang sesuai untuk memikul tanggungjawab lebih besar. Pada usia 55 tahun, beliau menghimpunkan keseimbangan antara pengalaman dan tenaga cukup matang untuk membuat pertimbangan strategik, namun masih dinamik untuk memacu gerak kerja sebuah gabungan politik utama dalam suasana persaingan yang semakin sengit.

Lebih penting, pelantikan ini membuka ruang kepada PN untuk membina semula keyakinan rakyat melalui pengukuhan institusi dan budaya integriti. Malaysia berdepan defisit kepercayaan terhadap sebahagian institusi akibat persepsi isu ketelusan, campur tangan politik dan kelemahan tata kelola.

Dalam suasana sedemikian, tokoh yang berimej bersih, sederhana dan profesional boleh menjadi simbol kepada usaha memulihkan kepercayaan awam, sesuatu yang hanya dapat dibina melalui amalan disiplin, ketelusan dan akauntabiliti, bukan sekadar slogan.

Kegelisahan sesetengah pihak bukan semata-mata kerana siapa Dr Sam, tetapi kerana apa yang beliau wakili. Beliau bukan produk politik sensasi dan setakat ini sukar dijadikan sasaran serangan peribadi.

Naratif yang dibawanya memperlihatkan bahawa politik tidak perlu bising untuk berkesan, dan kepimpinan tidak perlu flamboyan untuk diyakini.

Sekiranya pendekatan teknokrat yang tenang dan berintegriti ini berjaya menarik sokongan lebih luas termasuk kelas pertengahan dan pengundi bandar keseimbangan kuasa politik negara berpotensi berubah.

Reaksi hangat itu sendiri boleh ditafsir sebagai petanda bahawa landskap politik sedang bergerak, dan setiap perubahan pasti menimbulkan keresahan dalam kalangan yang selesa dengan pola lama.

Satu dimensi lain yang tidak kurang penting ialah sejarah kepimpinan negara yang sejak merdeka hampir keseluruhannya berpaksikan UMNO atau bekas pemimpin UMNO. Kepimpinan nasional berlegar dalam lingkungan elit politik yang sama untuk tempoh yang panjang.

Dalam konteks ini, pelantikan Dr. Sam sebagai Pengerusi PN membuka wacana tentang keperluan memberi ruang kepada pemimpin daripada parti lain, khususnya PAS, untuk memimpin di peringkat nasional.

Ini bukan soal sentimental parti, tetapi soal kematangan demokrasi dan kesediaan menerima perubahan pola kuasa. Tambahan pula, Pas kini antara parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar. Dalam sistem demokrasi, kekuatan mandat sewajarnya diterjemahkan kepada peluang kepimpinan.

Kesimpulannya, pelantikan Dr Sam wajar dilihat sebagai peluang membina politik berasaskan kerja dan prestasi, memperkukuh institusi serta memulihkan keyakinan rakyat. Sama ada beliau akan melangkah lebih jauh atau tidak, masa akan menentukan.

Namun jelas bahawa perubahan gaya kepimpinan ini telah menggoncang zon selesa politik lama dan itu sendiri menandakan permulaan kepada proses pematangan demokrasi negara.

* Dr. Nur Ayuni Mohd Isa ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dan kini sedang menjalani penyelidikan pasca doktoral di Jabatan Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Asia Tenggara (SEAC), School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.