BANDA ACEH – Hampir tiga bulan selepas banjir besar melanda wilayah Sumatera, kira-kira 26,000 mangsa di Indonesia masih tinggal di pusat perlindungan sementara, dengan sebahagian besar di wilayah Aceh menyuarakan kekecewaan terhadap respons pihak berkuasa yang disifatkan perlahan.
Di wilayah paling teruk terjejas itu, lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban manakala ratusan lagi masih hilang susulan hujan monsun luar biasa pada November dan Disember lalu.
Rauzah, 42, ibu kepada empat anak, kini berlindung bersama keluarganya di sebuah khemah berwarna jingga.
Lazimnya dia menyediakan juadah istimewa untuk berbuka puasa Ramadan, namun tahun ini mereka hanya mampu menyediakan hidangan ringkas dalam keadaan serba kekurangan.
“Saya masih trauma. Setiap kali hujan turun, saya cemas memikirkan keselamatan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, keadaan di kampungnya di daerah Pidie Jaya masih tidak banyak berubah, dengan rumah-rumah kekal diselaputi lumpur tebal.
Bergantung kepada bantuan
Agensi bencana nasional Indonesia melaporkan lebih 1,200 orang maut di tiga wilayah yang dilanda banjir di Sumatera, manakala hampir 140 lagi masih hilang.
Kerajaan menyatakan tahap kemusnahan turut dipengaruhi aktiviti pembalakan tidak terkawal dan telah membatalkan beberapa permit perhutanan selepas tragedi itu.
Bagaimanapun, Presiden Prabowo Subianto menolak gesaan untuk mengisytiharkan darurat bencana nasional bagi membolehkan dana kecemasan disalurkan, selain tidak menerima bantuan antarabangsa kerana menganggap keadaan masih 'terkawal'.
Kos pembinaan semula dianggarkan melebihi 51.82 trilion rupiah (sekitar RM12 bilion).
Di Banda Aceh, kumpulan pelajar dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan pusat mempercepatkan penyaluran sumber nasional bagi membantu mangsa.
Imam tempatan, Fakhri berkata, bantuan bekalan makanan yang disalurkan agensi berkaitan kerajaan dihentikan sebelum Ramadan bermula, manakala banyak sawah musnah menyebabkan penduduk hilang punca pendapatan.
“Kami kini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai,” katanya.
Janji belum ditunaikan
Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, yang mengetuai pasukan petugas pembinaan semula di Sumatera, memaklumkan hanya 8,300 unit penempatan sementara siap dibina daripada 16,688 yang dirancang.
Selain itu, kurang daripada 10 peratus daripada 16,300 rumah kekal yang dijanjikan kerajaan telah disiapkan setakat ini.
Seorang lagi mangsa, Reni, 37, berkata, keluarganya dipindahkan ke gudang perumahan sementara yang padat di Pidie Jaya bulan lalu.
“Kami bersyukur ada tempat berteduh, tetapi banyak janji tidak ditunaikan,” katanya, merujuk kepada kemudahan kafeteria dan elaun sara hidup harian 15,000 rupiah (RM3.50) yang didakwa tidak disediakan.
Dia juga bimbang tentang kos elektrik selepas subsidi tiga bulan tamat serta ketidakpastian masa depan.
Bagi Fakhri, Ramadan kali ini sekali lagi disambut dalam suasana getir.
“Inilah takdir kami sebagai rakyat Aceh. Buat masa ini, kami hanya mampu memanfaatkan apa yang ada,” katanya.
Selain isu penempatan dan bantuan, beberapa penduduk turut mempersoalkan ketelusan serta kecekapan penyelarasan antara kerajaan pusat dan wilayah dalam mempercepatkan proses pembinaan semula.
Mereka berharap satu pelan tindakan yang lebih jelas diumumkan, termasuk garis masa khusus bagi penyerahan rumah kekal agar mangsa tidak terus hidup dalam ketidaktentuan. - AFP