Kelahiran bayi Jepun jatuh ke paras terendah

Iklan
Jumlah bayi yang dilahirkan di Jepun pada 2025 menurun kepada 705,809 orang berbanding tahun sebelumnya. - AFP

TOKYO - Jumlah bayi yang dilahirkan di Jepun pada 2025 menurun kepada 705,809 orang berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadi angka terendah sejak data direkodkan pada 1899 dan mencatat penyusutan bagi tahun ke-10 berturut-turut, lapor agensi berita Kyodo memetik data kementerian kesihatan pada Khamis.

Angka itu termasuk penduduk asing dan menyusut 2.1 peratus berbanding 2024 ketika negara berdepan populasi menua dengan pantas serta kebimbangan kos membesarkan anak yang semakin meningkat susulan inflasi.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kadar penurunan itu lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.

Selain faktor ekonomi, pakar turut menyatakan semakin ramai memilih untuk berkahwin dan mempunyai anak pada usia lebih lewat atau tidak berkahwin langsung berikutan perubahan keutamaan hidup.

Iklan

Penyusutan populasi pula tidak menunjukkan tanda reda apabila pengurangan semula jadi iaitu jumlah kelahiran ditolak jumlah kematian dengan mencecah paras tertinggi pernah direkodkan sebanyak 899,845 orang, menurut data awal Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan sebelum ini mengunjurkan jumlah kelahiran, termasuk dalam kalangan penduduk asing, tidak akan jatuh di bawah 710,000 sehingga 2042.

Iklan

Dalam data berasingan yang dikeluarkan Jun tahun lalu, jumlah bayi yang dilahirkan kepada warga Jepun pada 2024 merosot kepada 680,000 orang, sekali gus jatuh di bawah paras 700,000 buat pertama kali. - Bernama