Utamakan anak tahfiz tempatan jadi imam tarawih - MAIS

Iklan
SERAMAI 16 pelajar menamatkan hafazan al-Quran 30 juzuk dan 15 pelajar lulus Sijil Kemahiran Malaysia Pengajian Tahfiz diraikan.

MENJADI kelaziman buat ahli jawatankuasa masjid atau surau setiap kali menghampiri Ramadan, pelbagai program disusun buat jemaah demi memeriahkan bulan penuh keberkatan itu.

Antara yang menjadi topik hangat setiap kali menjelang Ramadan, siapakah yang akan menjadi imam solat tarawih setiap malam? Dan pelbagai lagi persoalan yang timbul di fikiran.

Iklan
Iklan

Mengulas mengenai imam tarawih, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin menjelaskan, pihaknya masih lagi mewajibkan ahli jawatankuasa masjid dan surau di seluruh Selangor untuk mengutamakan anak-anak tempatan berbanding imam dari luar negara.

SALEHUDDIN

Iklan

Ujarnya, peraturan dan larangan imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih tersebut telah termaktub dan dikuatkuasakan sejak 2015.

“Kenapa perlu mengambil imam-imam dari luar negara sedangkan kita mempunyai pelajar-pelajar kemahiran sama dalam bidang al-Quran ini?

Iklan

“Gunakanlah kesempatan ini dengan memberi peluang kepada para pelajar kita untuk tonjolkan diri mereka dengan berani ke hadapan menjadi imam pada peringkat awal usia mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 anjuran Kumpulan Pendidikan Kiblah di Jenderam Hulu, Sepang baru-baru ini.

Menurutnya, lebih 2,000 surau dan 400 masjid di Selangor boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk memakmurkan lagi masjid dan surau dengan lebih berkesan.

Lanjut pelajaran ke UIS, Timur Tengah

Mengulas mengenai graduan tahfiz, beliau berkata, MAIS berhasrat untuk menyediakan keupayaan kepada sekolah-sekolah agama serta tahfiz di Selangor agar melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Selangor (UIS).

“Harapan MAIS agar mereka belajar di UIS pada peringkat ijazah pertama sebelum dihantar ke universiti di Timur Tengah.

SALEHUDDIN (dua dari kanan) menyampaikan Sijil Tamat Hafazan 30 Juzuk kepada pelajar di Dewan Utama Sekolah Kiblah, Sepang baru-baru ini.

“Ini akan memantapkan pengalaman mereka sebelum ke Timur Tengah untuk menguasai bahasa Arab.

Cebur bidang profesional

Tambahnya, beliau turut berharap graduan tahfiz bukan sekadar menjadi guru agama, imam dan bekerja di jabatan agama, bahkan turut menceburkan diri dalam bidang profesional seperti jurutera, doktor dan lain-lain lagi.

“Kita mahu lihat sekolah-sekolah tahfiz dan pondok-pondok dimodenkan apabila mereka bukan sahaja dilengkapkan dengan ilmu akhirat, bahkan dengan ilmu keduniaan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 16 pelajar yang berjaya menamatkan hafalan al-Quran 30 juz dan 15 pelajar yang lulus Sijil Kemahiran Malaysia Pengajian Tahfiz diraikan.

TETAMU jemputan, ibu bapa dan pelajar yang hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin), Tan Sri Dr Hashim Meon memaklumkan, seramai 3,000 pelajar Maahad Tahfiz Kiblah telah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 186 hafiz berjaya dilahirkan dalam tempoh dua tahun sejak 2024.

“Kita juga mempunyai Kolej Profesional Kemahiran Kiblah (KPKK) bagi melahirkan guru yang mampu menjadi tenaga pengajar di maahad tahfiz seluruh negara,” katanya.