Hormati undang-undang, didik masyarakat elak isu hina agama berulang - Zulkifli

Iklan
Zulkifli - Foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan

SHAH ALAM – Semua pihak diminta menghormati proses perundangan dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap insiden penghinaan agama Islam.

Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pihaknya turut mengecam sebarang bentuk tindakan biadab terhadap agama suci itu.

Iklan
Iklan

“Saya tegaskan bahawa saya mengecam penghinaan agama Islam yang suci dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang setegasnya tanpa kompromi.

“Kita perlu menghormati lunas undang-undang dan bertegas terhadap sesiapa yang cuba menghina agama kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Ujar beliau, usaha mendidik masyarakat menjadi sebahagian daripada tanggungjawab bersama agar perkara seumpama itu tidak berulang pada masa depan.

Zulkifli memberi contoh pendekatan hikmah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam tiga tahun lalu.

Iklan

“Ini dilakukan oleh Perdana Menteri untuk memberi kefahaman kepada seluruh penduduk dunia.

“Apa yang perlu kita lakukan selepas ini perlu mengambil kira usaha mengelakkan perkara-perkara ini daripada berlaku. Maka, kita perlu meneruskan proses mendidik dan memberikan pencerahan,” katanya lagi.

Beliau juga mengajak seluruh umat Islam mengamalkan tabayun, menghayati nilai Ramadan, bersabar dan terus berbuat kebaikan.

Pada Selasa, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut sebuah universiti di Pahang di media sosial.

Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.

Susulan itu, polis mengesahkan menahan penuntut tersebut dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.