KUALA LUMPUR- Kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun selepas selesainya urusan kajian terakhir atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu selaras dengan Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam hal ini, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Negeri Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
"Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri tersebut sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
"Kajian ini akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta jangkaan semua urusan itu dilengkapkan.
Azalina berkata, bagi Sabah, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025.
Ujarnya, pada masa ini SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri tersebut memandangkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 baru sahaja selesai.
"Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac depan (2026).
"Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian persempadanan semula hanya akan ditentukan SPR selepas tamatnya lat tempoh itu," katanya.