RAUB - “Ada penduduk mendakwa terdengar suara wanita meminta tolong, namun mereka tidak mampu membantu kerana api sedang marak."
Demikian cerita Ketua Kampung Pamah Kulat, Mohd Amin Nupah, 61, yang merupakan antara individu terawal tiba di lokasi kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga pada awal pagi Khamis.
Katanya, ketika beliau tiba sudah tidak kedengaran suara kecuali bunyi api membakar struktur rumah.
Mohd Amin berkata, beliau menyedari kejadian itu kira-kira jam 3.30 pagi selepas dihubungi penduduk.
Menurutnya, ketika beliau tiba, api sudah marak sehingga penduduk yang tiba lebih awal tidak sempat membantu.
“Selepas itu, salah seorang penduduk yang bertugas sebagai anggota polis menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan memadam kebakaran.
“Terkejut apabila api berjaya dipadamkan, bomba memaklumkan mereka menemukan mayat ahli keluarga terbabit, tiga di dalam tandas dan dua di luar rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah beliau, mangsa sekeluarga telah lama menyewa di rumah itu.
“Dia menjalankan perniagaan jual beli buah dan penduduk sering menjual hasil seperti durian dan lain-lain apabila tiba musimnya,” katanya.
Sementara itu, waris pemilik rumah, Norizan Kamaluddin, 59, berkata, mangsa sekeluarga telah menyewa rumah itu lebih 10 tahun lalu.
Katanya, sebelum ini mangsa banyak membantu ibunya yang tinggal di rumah bersebelahan.
“Selepas emak meninggal dunia, mereka sekeluarga terus menyewa di rumah itu dan kami pernah bertemu beberapa kali sebelum ini,” kata pesara kakitangan awam itu.
Norizan dan suaminya, Azahari Sulung, 61, yang tinggal di tempat lain berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku ketika mereka kebetulan pulang ke kampung tersebut.
“Terkejut apabila jiran memaklumkan rumah emak terbakar dan lebih mengejutkan lagi, lima sekeluarga yang menghuni rumah itu turut terkorban,” katanya.