Rumah ibadat perlu patuhi undang-undang - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah menyempurnakan majlis memasyhurkan Masjid Taman Bukit Bendera, Mentakab dengan nama Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah, Taman Bukit Bendera dengan menandatangani plak khas disediakan. Foto FB Kesultanan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan pembinaan mana-mana rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

Baginda bertitah, membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.

Iklan
Iklan

“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas, tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titah baginda melalui hantaran yang dikongsi di Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, Mentakab pada Selasa.

Iklan

Al-Sultan Abdullah menyantuni rakyat sempena keberangkatan baginda memasyhurkan Masjid Taman Bukit Bendera, Mentakab dengan nama Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah, Taman Bukit Bendera pada Selasa. Foto FB Kesultanan Pahang

Menurut baginda, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Iklan

“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa negeri Pahang memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.

Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.

Pada masa sama, Sultan Pahang mengingatkan rakyat supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri.

Terdahulu, Kesultanan Pahang melalui hantaran berasingan berkongsi keberangkatan Al-Sultan Abdullah memasyhurkan Masjid Taman Bukit Bendera, Mentakab dengan nama Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah, Taman Bukit Bendera.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis berkenaan, baginda mengingatkan agar masjid tidak sekadar berdiri megah secara fizikal, tetapi diimarahkan sebagai taman rohani yang menenangkan hati, menerangi akal dan menjadi payung rahmat kepada masyarakat.

“Peliharalah perpaduan seperti kita memelihara api dalam pelita. Kecil jika diabaikan namun mampu padam jika tidak dijaga. Tetapi jika disuburkan dengan kasih sayang dan kebijaksanaan, ia akan terus menyala menerangi kehidupan bersama,” titah baginda.