Resipi tujuh dekad Popia Jamal

Iklan
Benazir Nisa (kanan) bersama bapanya, Fakir semasa di bazar Bazar Ramadan Medan Selera Teratai, Jalan Pegawai di Alor Setar.

ALOR SETAR – Bermula dengan hanya berbasikal menjaja popia di sekitar bandar raya ini pada 1952, perniagaan Popia Jamal kini memasuki generasi keempat dan terus kekal antara makanan warisan digemari setiap Ramadan atau musim perayaan.

Diasaskan oleh Allahyarham Kadir Maidin Mohd Zainal, popia berintikan sengkuang dan lobak merah dengan kuah pekat istimewa itu menjadi resipi turun-temurun keluarga yang bertahan lebih tujuh dekad di Alor Setar.

Iklan
Iklan

Generasi keempat, Benazir Nisa Fakir Mohamed, 29, berkata, dia mula membantu perniagaan keluarga sejak Tahun Enam lagi dengan menjaga gerai bersama bapanya, Fakir Mohamed Jamal Mohamed, 51, serta arwah datuknya, Jamal Mohamed Kadir Maidin.

Menurutnya, minat untuk meneruskan legasi keluarga sudah sebati dalam dirinya kerana membesar dalam suasana perniagaan popia tersebut.

Iklan

“Saya merupakan generasi keempat meneruskan legasi perniagaan Popia Jamal di Pekan Rabu, Alor Setar sejak dua tahun lalu.

“Saya memang sudah biasa dan minat dengan perniagaan ini kerana telah didedahkan sejak kecil lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dengan harga RM6 bagi setiap set, popia berkenaan terus mengekalkan identiti asalnya dengan kuah pekat yang menjadi rahsia utama sejak lebih 70 tahun lalu.

Bagi Benazir Nisa, cabaran generasi baharu sepertinya adalah memastikan warisan tersebut terus relevan tanpa mengubah resipi asal yang menjadi kekuatan jenama itu.

“Resipi tetap sama seperti dahulu. Kami tidak ubah rasa sebab itu yang pelanggan cari. Insya-ALLAH kami akan teruskan legasi ini supaya kekal menjadi kebanggaan keluarga dan orang Kedah,” ujarnya.

Sementara itu, generasi ketiga, Fakir Mohamed berkata, arwah bapanya, Jamal Mohamed, antara individu yang mempopularkan jenama Popia Jamal sehingga dikenali ramai ketika berniaga di bangunan lama Mahkamah Tinggi, yang menjadi antara lokasi tumpuan ketika itu.

Menurutnya, perniagaan tersebut melalui pelbagai fasa perubahan mengikut peredaran zaman, bermula dengan datuknya menggunakan basikal untuk menjaja sebelum beralih kepada roda tiga dan hari ini berjaya berniaga di premis.

“Saya memang dari kecil ikut ayah berniaga. Arwah datuk bawa resipi ini sekitar 1950-an sebelum ayah pula ambil alih sekitar 1970-an. Jadi saya memang dibesarkan dengan perniagaan Popia Jamal ini.

“Orang dulu kenal popia kami sebagai Popia Mahkamah sebab kami berniaga di bangunan lama tinggalan British berhampiran mahkamah. Dari situ nama Popia Jamal makin dikenali,” ujarnya.

Dengan harga RM6 bagi setiap set, popia berkenaan terus mengekalkan identiti asalnya dengan kuah pekat yang menjadi rahsia utama sejak lebih 70 tahun lalu.

Jelasnya, selain popia berkenaan, antara juadah yang turut menjadi buruan ialah mi mamak warisan, pasembur dan teh tarik resipi tradisi turun-temurun oleh ibunya yang dijual di Pekan Rabu, Alor Setar dan Bazar Lorong Sempit di sini.