Bekas pembantu tadbir JKR didakwa salah guna kedudukan cadang syarikat adik dapat kontrak

Iklan
Ismail Saari dibawa SPRM ke Mahkamah Sesyen Seremban.

SEREMBAN - Bekas pembantu tadbir Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan kontrak perkhidmatan untuk syarikat milik adiknya, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Ismail Saari, 42, yang kini merupakan penghulu di Jelebu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) di JKR Daerah Seremban telah menggunakan kedudukannya untuk suapan iaitu tiga kontrak perkhidmatan menyediakan makanan dan minuman serta menyelenggara mesin bernilai RM3,620 bagi syarikat milik adiknya.

Tertuduh telah mencadangkan sebut harga syarikat terbabit sebagai pembekal bagi perkhidmatan kepada jurutera JKR Daerah Seremban.

Iklan

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 6 Mac, 20 Ogos dan 10 Oktober 2018 di JKR Daerah Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Iklan

Jika disabitkan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil memohon jaminan ditetapkan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkmah sehingga kes selesai.

Peguam, Alif Ahmad Tarmizi memohon jaminan yang munasabah kerana anak guamnya kini bekerja sebagai Penghulu di Jelebu dengan pendapatan RM5,000 sebulan serta menanggung isteri dan seorang anak berusia 13 tahun.

Katanya, tertuduh juga menanggung bapa mentua yang menghidap strok serta ibu bapa yang menghidap darah tinggi.

Beliau turut memaklumkan yang anak guamnya tiada rekod jenayah dan memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan setiap bulan, menyerahkan pasport dan dilarang mengganggu saksi.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 6 April.