[VIDEO] Pengerusi madrasah didakwa cabul pengikut wanita

Iklan

ALOR GAJAH - Seorang pengerusi madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan cabul terhadap seorang wanita yang mengikuti kuliahnya tahun lalu.

Muhammad Salleh (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan cabul seorang wanita pada Khamis.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang dipanggil ‘tuan guru’ dalam kalangan pengikutnya itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 1 November lalu sekitar jam 9 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Denial Khairul Hizam yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain sentiasa memberi kerjasama dan hadir sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, tertuduh yang merupakan guru agama perlu menanggung seorang isteri dan hanya bergantung kepada sumbangan orang awam sebagai penceramah.

“Tertuduh juga menanggung kos rawatan dan sehingga kini mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerana menghadapi masalah radang perut selain saraf,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 April depan.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi bersama beberapa pengikut yang berkaca mata hitam dan pelitup muka.

Salah seorang pengikutnya dilihat menggunakan kain keffiyeh bagi menutupi wajah tertuduh daripada dirakam pihak media.