AMPANG JAYA - Cubaan dua lelaki meloloskan diri gagal apabila mereka ditahan selepas dikejar polis di Jalan Taman Bukit Indah, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam, pihaknya menerima laporan daripada unit peronda (MPV) memaklumkan sedang mengejar suspek yang memandu kereta jenis Volkswagen Passat.
"Unit MPV bertindak membuat hebahan kepada semua petugas supaya memberi bantuan dan laporan polis dibuat untuk makluman pertama kejadian.
"Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri daripada pemeriksaan polis kerana membawa dadah dan peralatan pecah rumah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Khairul Anuar berkata, kedua-dua suspek ditahan di Jalan bypass Serendah, Hulu Selangor menghala Kuala Lumpur.
"Kedua-dua suspek direman selama empat sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki peralatan pecah rumah," ujarnya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan aksi kenderaan polis mengejar suspek di kawasan perumahan Bukit Indah.