Duka penduduk Gaza bertimpa-timpa ketika Ramadan

Iklan
Kawasan sekitar al-Mawasi, selatan Gaza yang ditenggelami banjir. Foto AFP

GENTING GAZA - Nasib penduduk Palestin yang sedang menunaikan ibadah puasa sambil mengharungi musim sejuk yang menggigit tulang benar-benar ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

'Bandar khemah' di seluruh Genting Gaza kini ditenggelami banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal minggu lalu.

Iklan
Iklan

Keadaan menjadi huru-hara di tengah-tengah kempen pengeboman yang masih belum reda.

Pasukan penyelamat bertindak menyediakan bantuan kecemasan kepada beberapa keluarga setelah khemah yang menjadi tempat berlindung mereka di al-Mawasi di Khan Yunis tenggelam.

Iklan

Kawasan barat Bandar Gaza terutamanya di kawasan kejiranan Remal juga antara yang terjejas.

Rakaman video yang menjadi tular di media sosial turut menunjukkan keadaan khemah digenangi air dan penduduk Palestin mencari jalan untuk menghalang kerosakan lebih teruk.

Iklan

Seorang pemuda berusaha menolak air banjir yang bertakung selepas hujan lebat berterusan sejak awal minggu lalu. Foto AFP

Ketika cuaca buruk terus melanda enklaf tersebut, hujan bom dilancarkan rejim Zionis juga diperhebatkan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 600 penduduk Palestin terkorban sejak perjanjian gencatan senjata diusahakan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa pada Oktober lalu.

Ketika ini, puluhan ribu keluarga Palestin yang berlindung di bawah khemah sementara juga terdedah kepada penyakit bawaan air dan risiko hipotermia.

Seorang wanita Palestin tidak mampu menahan sebak melihat khemah sementaranya yang bocor dan rosak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menilai keadaan semasa menyifatkan situasi di Gaza kekal 'malapetaka' setelah perang ganas berlarutan lebih dua tahun.

Sejak Disember lalu, wilayah itu dilanda ribut musim sejuk luar biasa yang merosakkan banyak khemah serta meruntuhkan bangunan separa musnah yang dijadikan tempat berteduh oleh sebahagian penduduk Palestin.

Ada yang menemui ajal di bawah khemah yang usang akibat cuaca sejuk ekstrem berikutan sekatan ketat Israel terhadap penghantaran bekalan penting termasuk khemah dan rumah mudah alih.

Selain itu, ribuan penduduk Palestin yang dilarang melintasi sempadan Rafah untuk mendapatkan rawatan perubatan segera juga tiada tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat. - Agensi