ISLAMABAD - Satu gempa bumi kuat melanda wilayah sempadan antara Tajikistan, Afghanistan dan Pakistan pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut stesen pemantauan gempa bumi USGS, gempa itu berukuran 5.4 magnitud dengan pusat gempa dikesan di wilayah Tajikistan pada kedalaman 104 kilometer.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa diterima.
Gempa bumi itu turut dirasai di ibu negara Afghanistan, Kabul, lapor penyiar Tolonews.
Penduduk di barat laut Pakistan dan ibu negara Islamabad juga melaporkan merasai gegaran berkenaan.
Gegaran kerap berlaku di rantau ini berikutan kedudukannya yang terletak di titik pertemuan plat tektonik Arab, India dan Eurasia.
Ogos lepas, gempa bumi kuat melanda Afghanistan yang mengorbankan lebih 2,000 orang. - Bernama/dpa