KAHERAH - Liga Arab pada Selasa mengecam tindakan arson pelampau Yahudi di sebuah masjid di Tebing Barat pada minggu kedua Ramadan.
Kumpulan ekstremis tersebut turut melakukan vandalisme ke atas Masjid Abu Bakr al-Siddiq dengan contengan dalam bahasa Hebrew yang berbaur provokasi.
Iklan
Iklan
Ketika insiden pada jam 3.30 pagi (waktu tempatan) pada awal minggu lalu, puluhan jemaah Palestin sedang menuju ke masjid tersebut terlihat api dan kepulan asap tebal di lokasi kejadian yang terletak antara perkampungan Tal dan Sura berhampiran bandar Nablus.
Beberapa penduduk setempat sempat mengawal api daripada terus marak dan kebakaran itu hanya memusnahkan pintu masuk dan sebahagian ruang.
Liga Arab dalam satu kenyataan menegaskan perbuatan biadab mencemari kesucian masjid merupakan peningkatan berbahaya yang mendorong ucapan kebencian dan keganasan.
"Ia jelas menggugat usaha antarabangsa untuk mencapai keamanan dan kestabilan," menurutnya lagi yang turut menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah konkrit bagi menghentikan serangan berulang ke atas masjid.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Agama di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) merekodkan kira-kira 45 masjid diceroboh atau menjadi sasaran vandalisme di Tebing Barat pada tahun lalu. - Agensi