IPOH - Kerajaan Perak akan meneliti cadangan bantuan bagi mangsa ribut di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) khususnya di Bukit Gantang yang terjejas dalam kejadian pada Selasa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah mengarahkan Pegawai Daerah LMS selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah untuk turun padang menjalankan bancian menyeluruh berhubung kerosakan serta jumlah premis terlibat.
"Pegawai Daerah telah diminta membuat bancian tentang kerosakan, bilangan premis yang terlibat dan bantuan yang perlu dicadangkan kepada Kerajaan Negeri.
"Saya dimaklumkan semalam pun mereka telah ambil tindakan membuka PPS (pusat pemindahan sementara) untuk membolehkan mangsa terutama mereka yang berpuasa ada tempat tinggal dan ada tempat untuk berbuka puasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan serta Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak Tahun 2026 di Pejabat Menteri Besar di sini pada Rabu.
Mengulas sama ada terdapat peruntukan khusus untuk membaik pulih rumah mangsa bencana, Saarani berkata, bantuan lazimnya disalurkan dalam bentuk wang ihsan, selain turut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Biasanya kita akan bantu. Tetapi kita ambil masa kerana perlu ada penilaian terhadap kerosakan serta kaedah pelaksanaan yang melibatkan peruntukan kewangan kerajaan negeri atau Persekutuan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan, pihaknya telah menyalurkan bantuan tunai segera sebanyak RM400 kepada setiap rumah yang terjejas.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meninjau sendiri keadaan mangsa di kawasan terlibat.
"Saya agak terharu melihat keadaan ini. Bila saya pusing kawasan, ada pokok tumbang, ada rumah yang satu bumbung terbang.
Bapa saudara saya sendiri pun rumahnya terjejas. Keadaan ini berlaku tak kira Melayu, Cina, India semua kena," katanya.
Menurut beliau, bantuan berkenaan disalurkan secara pendaftaran dalam talian menggunakan kod QR bagi memastikan agihan dibuat secara adil dan telus kepada semua mangsa tanpa mengira latar belakang.
"Setiap rumah yang menjadi mangsa akan menerima RM400 bantuan tunai segera.
"Setakat ini, 145 orang telah mendaftar secara dalam talian dan menerima bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, selain bantuan tunai, kerja-kerja pembaikan rumah termasuk penggantian bumbung akan dilaksanakan seperti mana dilakukan tahun lalu.
"Kalau kerosakan kecil dua, tiga keping zink, kita hantar bumbung dan mereka boleh baiki sendiri guna duit bantuan itu.
"Kalau kerosakan besar, kita akan baiki menggunakan kontraktor yang kita bayar," katanya.
Menurutnya, kos pembaikan akibat ribut tahun lalu mencecah kira-kira RM600,000, manakala bagi kejadian kali ini dianggarkan boleh mencecah sehingga RM1 juta berikutan jumlah kerosakan yang lebih besar.
Beliau turut menyifatkan kejadian yang berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa serta masyarakat Cina baru sahaja menyambut perayaan Tahun Baharu sebagai satu dugaan besar buat penduduk setempat.
"Ini tanggungjawab saya sebagai pemimpin di kawasan ini. Kita bantu untuk semua," katanya.