BINTANG pertahanan Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi sekali lagi menegaskan pendirian bahawa dirinya tidak bersalah selepas diarah berdepan perbicaraan di mahkamah atas pertuduhan merogol.
Pemain yang pertama kali didakwa pada Februari 2023 berhubung satu insiden di Paris itu, secara konsisten menafikan sebarang salah laku membabitkan dirinya.
Pemain berusia 27 tahun itu telah diarahkan untuk hadir ke mahkamah jenayah Hauts-de-Seine bagi menjawab pertuduhan tersebut.
Dia didakwa merogol seorang wanita berusia 24 tahun di kediamannya di kawasan Boulogne-Billancourt, ibu negara Perancis pada 25 Februari 2023.
Kapten pasukan kebangsaan Maghribi itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan tampil di media sosial pada Selasa untuk mempertahankan maruahnya.
"Hari ini, satu tuduhan rogol sudah cukup untuk mewajarkan satu perbicaraan, walaupun saya menentangnya dan segala-galanya membuktikan ia adalah palsu.
"Ia sama sekali tidak adil kepada individu yang tidak bersalah mahupun mangsa yang jujur. Saya menanti perbicaraan ini dengan tenang, yang mana ia akan membolehkan kebenaran terungkap secara umum," tulisnya di platform X.
Pada September lalu, Hakimi pernah mengulas mengenai dakwaan tersebut secara terbuka dengan menyifatkannya sebagai ujian paling berat pernah dilalui dalam hidupnya.
"Ia adalah tamparan paling hebat yang pernah saya alami. Apabila mereka terus menabur pembohongan demi pembohongan, ia amat menyakitkan.
"Ia menyakitkan keluarga dan anak-anak saya yang masih kecil. Apabila tiba masanya mereka membaca perkara ini dan melihat pembohongan ditulis mengenai bapa mereka, ia adalah sesuatu yang tidak menyenangkan," katanya kepada stesen penyiaran Perancis, Canal+.
Mengulas lanjut, Hakimi menegaskan dia tidak pernah gentar menghadapi pertuduhan itu dan yakin dengan pihak peguamnya.
"Kami tenang. Saya tahu apa yang dituduh terhadap saya adalah satu pembohongan. Malah, polis juga mempunyai profil DNA (asid deoksiribonukleik) saya dan saya sentiasa memberikan kerjasama penuh, berbanding pihak penuduh yang sering menyukarkan siasatan.
"Sistem keadilan sedang melaksanakan tugasnya dan saya harap kebenaran akan segera terbukti," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan wujud pelbagai cabaran di luar padang termasuk unsur peras ugut di mana ramai pihak sering mengambil kesempatan terhadap status pemain bola sepak antarabangsa.
"Mereka telah mencemarkan maruah saya. Dituduh dengan dakwaan palsu bukanlah sesuatu yang baik dan saya tidak mahu sesiapa pun melalui perkara sebegini," tambahnya.