JAKARTA– Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) Indonesia memilih PT Ormat Geothermal Indonesia, syarikat bersekutu Ormat Technologies Inc. dari Israel, sebagai pemenang tender Wilayah Kerja Geoterma (WKG) Telaga Ranu di Kabupaten Halmahera Barat, Maluku Utara, lapor Tempo.
Penetapan ini termaktub dalam Keputusan Menteri ESDM No.8.K/EK.04/MEM.E/2026, yang ditandatangani Ketua Pengarah Tenaga Baharu, Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga (EBTKE), Eniya Listiani Dewi pada 12 Februari lalu.
Menurut keputusan tersebut, pemenang tender diwajibkan membayar harga asas data wilayah kerja sebagai Hasil Bukan Cukai (HBK) dan menempatkan Komitmen Eksplorasi di bank milik kerajaan.
Sekiranya gagal mematuhi syarat, kemenangan boleh dibatalkan dan peserta seterusnya diumumkan sebagai pemenang.
PT Ormat Geothermal Indonesia adalah sebahagian daripada Ormat Technologies Inc., syarikat tenaga geoterma global yang ditubuhkan pada 1965 di Yavne, Israel.
Syarikat ini mula-mula menumpukan pembangunan teknologi turbin sebelum berkembang menjadi pemain utama dalam tenaga boleh baharu, khususnya tenaga geoterma.
Ormat disenaraikan di Bursa Saham Tel Aviv (1991) dan Bursa Saham New York (NYSE) pada 2004 dengan kod saham ORA.
Ormat telah membina dan mengendalikan loji janakuasa geoterma di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Kenya, Guatemala, Honduras dan Guadeloupe.
Di Indonesia, syarikat ini pernah terlibat dalam pembangunan Loji Janakuasa Geoterma (LJG) Ijen di Bondowoso, Jawa Timur, serta projek PLTP Sarulla di Sumatera Utara melalui konsortium Sarulla Operation Ltd.
Keputusan ESDM itu menimbulkan reaksi daripada beberapa pihak, termasuk Center of Economic and Law Studies (Celios).
Pengarah Eksekutif Celios, Bhima Yudhistira berkata, penglibatan syarikat Israel boleh menjejaskan pendirian moral Indonesia di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan sekadar projek tenaga, tetapi turut membawa keuntungan kepada Israel, negara yang tidak mengiktiraf kemerdekaan Palestin,” kata Bhima dalam kenyataan bertulis.
Sehingga kini, pihak EBTKE belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap kritikan berhubung keputusan penetapan PT Ormat Geothermal Indonesia sebagai pemenang tender WKG Telaga Ranu.-Agensi