Najib sudah terima dokumen perintah tahanan rumah, mekanisme dirahsiakan - Peguam

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disahkan telah menerima dokumen perintah berkaitan mekanisme tahanan rumah terhadapnya, namun beliau dilarang mendedahkan kandungan dokumen terbabit kepada umum.

Pendedahan itu dibuat peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Iklan
Iklan

Tambah Shafee, anak guamnya itu telah melihat dokumen tersebut yang turut mengandungi lampiran mengenai terma dan syarat bagi mekanisme tahanan rumah dimaksudkan.

"Tetapi kami tidak boleh memberitahu anda, atau lebih tepat lagi Datuk Seri Najib tidak boleh memberitahu anda apa kandungannya, kerana beliau telah diberitahu oleh pihak penjara untuk tidak mendedahkan kandungan tersebut, ia hanya boleh dilihat oleh beliau.

Iklan

"Pihak penjara risau jika kandungan tersebut didedahkan kepada umum, nanti timbul pelbagai spekulasi kerana semua orang akan berbincang," jelas Shafee kepada pemberita dalam sidang media, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Shafee turut mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan adalah kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.

Iklan

Minggu lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penjelasan lanjut mengenai mekanisme tahanan rumah kepada Najib.

Terdahulu, pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara Malaysia dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurut beliau, SOP berkenaan akan menetapkan garis panduan berkaitan urusan lawatan, kawalan keselamatan serta pemantauan pergerakan Najib. - Awani