KUALA SELANGOR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama rakyat dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 529 asnaf di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini pada Selasa.
Masjid itu menjadi lokasi kedua baginda berbuka puasa bersama rakyat selepas berangkat ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat lalu.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin; Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Mufti Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Anhar Opir serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 149 fakir, 239 miskin dan 141 muallaf dengan masing-masing menerima RM500.
Jumlah keseluruhan sumbangan yang diagihkan kepada penerima di masjid itu ialah RM264,500.
Baginda kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama rakyat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata, keindahan dan nilai sejarah Masjid Jamek Sultan Ibrahim terus menjadi kebanggaan warga daerah apabila rumah ibadah itu bukan sahaja gah dari segi seni bina, malah aktif dengan pelbagai inisiatif kemasyarakatan dan kelestarian.
Menurut beliau, masjid itu dirasmikan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 6 Mac 1987.
Katanya, masjid itu dinamakan sempena Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Raja Lumu, Sultan Selangor kedua.
"Masjid ini dibina di atas tanah seluas 42,986 kaki persegi dengan kos pembinaan berjumlah RM10.2 juta dan mampu menampung seramai 2,500 jemaah termasuk ruang limpah.
"Keunikan reka bentuknya terserlah dengan empat kubah emas, dua menara yang indah serta dinding dihiasi inskripsi al-Quran," tambah beliau.
Mohd Raiz berkata, terdapat tiga surau yang bernaung di bawah pentadbiran masjid berkenaan.
Menurutnya, masjid itu turut menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui menerusi pemasangan panel solar di 22 petak parkir.
Katanya, projek itu menerima tajaan Maestron Energy Sdn Bhd berjumlah RM455,100 dengan anggaran penjimatan kos elektrik sebanyak RM580,465.31 dalam tempoh 25 tahun.
"Bagi memudahkan jemaah berkerusi roda dan warga emas, pihak masjid juga bercadang menyediakan kemudahan lif ke ruang solat utama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, masjid itu turut melaksanakan kursus haji secara tahunan membabitkan kira-kira 300 bakal haji dari daerah Kuala Selangor.