'Abang kritikal, dia sedang nazak' - Adrian Adam

Iklan
Adrian Adam (kanan) ketika berkongsi keadaan kesihatan abangnya, Andre Mikhail. Foto Sumber Melodi

SHAH ALAM – Anak kepada pelakon terkenal, Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail yang kini berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga dilaporkan berada pada fasa kritikal.

Memetik laporan berita Melodi, perkara itu didedahkan oleh adik Andre, Adrian Adam yang berkata, keadaan kesihatan abangnya ketika ini amat membimbangkan apabila terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan dan tidak lagi menunjukkan sebarang tindak balas fizikal.

Iklan
Iklan

“Keadaan abang (Andre) kritikal, dia sedang nazak.

"Dia bergantung kepada oksigen. Doktor kata dia boleh dengar lagi cuma tak respons,” katanya dalam temu bual bersama Melodi pada Isnin.

Iklan

Dalam masa sama, Adrian turut berkongsi perkembangan dirinya yang kini berdepan kesukaran untuk bergerak susulan kanser tulang yang dihidapinya.

“Alhamdulillah keadaan saya masih terkawal, cuma nak berjalan susah. Ada rasa sakit dan sebelah kaki bengkak, tetapi saya masih boleh tidur, duduk dan bergerak perlahan-lahan,” ujarnya.

Iklan

Remaja itu juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang terus menyalurkan bantuan dan doa buat dirinya serta keluarga.

“Semoga ALLAH membalas segala kebaikan dunia dan akhirat dengan ganjaran berlipat kali ganda,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Amyza, 51, memohon orang ramai mendoakan kesihatan anak sulungnya yang difahamkan semakin kritikal di Hospital Kuala Lumpur disebabkan kanser paru-paru.

Tahun lalu, Amyza memaklumkan bahawa Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.