SHAH ALAM - Yayasan Selangor (YS) terus memperkukuh mandatnya sebagai agensi peneraju pendidikan di negeri ini melalui pemeteraian pelbagai kerjasama strategik bagi memantapkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Yayasan Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa langkah proaktif itu dirangka bagi memastikan kelestarian akses pendidikan berkualiti serta pembangunan modal insan berdaya saing, selaras dengan visi organisasi untuk membentuk generasi “Insan Kamil” yang mampu mendepani cabaran industri global masa kini.
Menurut kenyataan itu, dalam memacu agenda pendidikan digital, YS memeterai kerjasama dengan Al Motahida Education Group yang menyumbang tajaan bernilai RM10 juta bagi tahun 2026.
"Tajaan itu untuk menyediakan akses pembelajaran dalam talian Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) kepada 10,000 pelajar, selain menubuhkan Perpustakaan Digital YS yang boleh diakses secara berterusan.
"Inisiatif teknologi itu turut diperkukuh menerusi kolaborasi bersama Talent Pioneers Integrated Solutions (TPIS) yang menyalurkan tajaan berjumlah RM200,000 bagi memperkasa 100 guru melalui latihan integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam pedagogi serta perolehan pensijilan Google Educator," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Terdahulu, pertukaran dokumen nota persefahaman antara Yayasan Selangor dengan pihak-pihak terlibat disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa di sini.
Yayasan Selangor turut memaklumkan bahawa fokus terhadap pendidikan profesional dan antarabangsa dipertingkatkan melalui kerjasama dengan TYMBA Education Group dan Association of Chartered Certified Accountants Malaysia (ACCA) Malaysia yang menawarkan Biasiswa Profesional kepada 1,000 guru serta profesional muda di seluruh Malaysia bagi memperoleh sijil profesional ACCA secara percuma.
Selain itu, Taleem (M) Sdn Bhd melalui Templer Park International School menyediakan penggunaan fasiliti sekolah antarabangsa untuk tujuan latihan dan bengkel, selain memperuntukkan lima kuota pengajian berasaskan Kurikulum Cambridge secara percuma setiap tahun kepada calon tajaan YS.
Dalam memperluas akses kemahiran teknikal dan vokasional, YS bekerjasama dengan ATC College untuk mengoperasikan Akademi TVET di kompleks bangunan Kem PLKN Yayasan Selangor, Kuala Kubu Baharu yang bakal menawarkan kursus kimpalan dengan pensijilan tempatan serta antarabangsa.
Menurut kenyataan itu lagi, perancangan masa hadapan akademi berkenaan termasuk memperkenalkan bidang mekatronik dan sistem komputer.
Usaha berkenaan turut disokong menerusi kolaborasi bersama DHS Hospitality Academy Sdn Bhd yang membuka peluang kepada belia melalui latihan berasaskan industri dan penempatan kerjaya dalam sektor hospitaliti.
Ini termasuk pemberian elaun sara hidup, program Pelatih Pengurusan di Singapura selama dua tahun, latihan industri di Kazakhstan selama 12 bulan serta penawaran program Master of Business Administration, Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (MBA APEL.Q) secara percuma khusus buat penjawat awam di Negeri Selangor.
"Kesemua rangkaian jalinan strategik itu diharapkan dapat merapatkan jurang pendidikan serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dalam memenuhi tuntutan pasaran kerja semasa," tambah kenyataan itu.