Risiko penjamin dalam perniagaan, kewangan

Iklan
Kedudukan penjamin tidak boleh dipandang ringan dari sudut perundangan.

AKHIR-akhir ini, saya sering menerima kunjungan daripada individu atau pengarah syarikat yang melangkah masuk ke pejabat dengan wajah gelisah, memegang notis tuntutan atau writ saman daripada bank. Hampir kesemuanya memulakan bicara dengan ayat yang sama: “Saya cuma penjamin, bukan peminjam. Kenapa saya pula yang perlu bayar?”

Situasi ini mencerminkan realiti yang membimbangkan apabila masih ramai dalam masyarakat kita menjadi penjamin tanpa memahami implikasi undang-undang dan risiko kewangan yang bakal mereka tanggung, terutamanya dalam urusan perniagaan dan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

Bayangkan anda secara sukarela menandatangani satu dokumen perjanjian atas dasar percaya serta dengan niat membantu rakan kongsi atau anak yang memerlukan dana melalui pinjaman perniagaan. Namun beberapa bulan kemudian, anda dikejutkan dengan notis tuntutan daripada institusi kewangan yang meminta anda melangsaikan segala tunggakan pinjaman tersebut.

Hutang perniagaan yang anda sangkakan tiada kaitan dengan anda dan hanya tanggungjawab peminjam kini menjerat sehingga menjejaskan kewangan peribadi serta reputasi profesional dan operasi perniagaan anda. Fenomena ini bukan sekadar cerita rekaan, malah satu realiti yang dihadapi masyarakat tanpa mengira status sama ada individu atau pengarah syarikat PKS.

Iklan

Kebanyakan institusi kewangan yang menawarkan pinjaman perniagaan menyatakan dengan jelas peranan setiap pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. Peminjam ialah individu atau entiti yang menerima kemudahan kredit dan bertanggungjawab membayar balik jumlah pinjaman beserta faedah atau keuntungan yang dipersetujui. Penjamin pula ialah pihak yang bersetuju menanggung liabiliti hutang sekiranya peminjam gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Dari perspektif bank, penjamin memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kegagalan bayaran balik bagi menjamin pembayaran semula pinjaman. Dalam konteks PKS dan korporat, penjamin lazimnya terdiri daripada pengarah syarikat, pemegang saham utama atau rakan kongsi yang menandatangani jaminan bagi memudahkan kelulusan pembiayaan modal kerja, pengembangan operasi atau pembelian aset.

Iklan

Sebenarnya, kedudukan penjamin tidak boleh dipandang ringan dari sudut perundangan. Kontrak jaminan merupakan perjanjian sah yang boleh dikuatkuasakan di bawah Akta Kontrak 1950. Akta ini memperuntukkan bahawa jaminan ialah persetujuan untuk menunaikan liabiliti pihak ketiga sekiranya pihak tersebut gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Sekali tandatangan diturunkan, penjamin terikat sepenuhnya di sisi undang-undang tanpa mengira niat asal. Bantuan yang diberikan atas dasar kasih sayang, solidariti atau kepentingan perniagaan tidak memberikan pengecualian. Setiap komitmen sebagai penjamin mempunyai implikasi kewangan serius dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada aset serta kestabilan individu, malah perniagaan yang terlibat.

Prinsip paling penting dan sering disalah erti ialah liabiliti penjamin bersifat “co-extensive” dengan liabiliti peminjam utama. Dalam erti kata lain, jumlah tanggungan penjamin adalah sama dengan jumlah tanggungan peminjam, melainkan dinyatakan sebaliknya dalam kontrak. Institusi kewangan tidak diwajibkan menghabiskan segala usaha menuntut hutang daripada peminjam terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap penjamin. Dalam banyak kes litigasi, saman difailkan serentak terhadap kedua-dua pihak. Dalam keadaan tertentu, penjamin menjadi sasaran utama kerana kebiasaannya kedudukan kewangannya lebih stabil.

Realiti di Malaysia menunjukkan golongan yang paling kerap menjadi penjamin ialah ibu bapa yang menjamin pinjaman pendidikan, pinjaman perniagaan atau pinjaman perumahan anak. Manakala suami atau isteri pula cenderung menjadi penjamin kepada pasangan bagi menyokong pinjaman perniagaan, selain rakan kongsi dalam urusan komersial. Persetujuan dibuat secara sukarela atas dasar kepercayaan dan kasih sayang. Namun apabila berlaku kegagalan perniagaan, perceraian, kehilangan pekerjaan atau krisis kewangan, komitmen itu bertukar menjadi beban yang membelenggu dan menjadi mimpi ngeri.

Menurut statistik kebankrapan tahunan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2022 hingga 2025, puluhan ribu kes direkodkan setiap tahun melibatkan pinjaman peribadi dan komersial. Data terkini menunjukkan sebanyak 23,918 kes kebankrapan dicatatkan antara 2022 hingga awal 2026. Pengalaman praktikal di mahkamah pula menunjukkan sebahagian kes melibatkan penjamin yang terheret akibat kemungkiran pihak ketiga. Dalam konteks PKS, situasi ini boleh melumpuhkan operasi syarikat, mengganggu aliran tunai serta menjejaskan reputasi profesional pengarah dan usahawan.

Mahkamah berpegang kepada prinsip asas undang-undang kontrak bahawa seseorang yang menandatangani dokumen dianggap memahami dan bersetuju dengan kandungannya. Alasan tidak membaca atau tidak memahami jarang diterima. Undang-undang tidak melindungi kecuaian, sebaliknya melindungi mereka yang bertindak dengan penuh kesedaran dan berhati-hati.

Hak penjamin

Walaupun tanggungjawab penjamin berat, undang-undang tetap memberikan beberapa hak. Sekiranya penjamin telah melunaskan hutang kepada bank, beliau berhak menuntut semula jumlah tersebut daripada peminjam melalui tuntutan indemniti atau ganti rugi. Penjamin juga mempunyai hak subrogasi untuk mengambil alih kedudukan bank terhadap peminjam, termasuk hak ke atas cagaran. Dalam keadaan tertentu, jika terdapat perubahan material terhadap kontrak pinjaman tanpa persetujuan penjamin atau wujud unsur salah nyata, kontrak jaminan boleh dicabar di mahkamah.

Langkah pertama yang perlu dibuat sekiranya peminjam culas ialah mendapatkan penyata terkini daripada institusi kewangan bagi mengetahui jumlah sebenar tunggakan dan kedudukan akaun. Komunikasi bertulis dengan peminjam juga perlu bagi mendapatkan penjelasan serta pelan pembayaran yang realistik, sambil menyimpan semua rekod sebagai bukti sekiranya berlaku pertikaian.

Solusi terbaik ialah mendapatkan nasihat peguam untuk menilai pilihan yang ada. Rundingan penyelesaian, penstrukturan semula bayaran atau tindakan undang-undang terhadap peminjam boleh dipertimbangkan. Penyediaan perjanjian indemniti berasingan antara penjamin dan peminjam juga memberi perlindungan tambahan agar aset peribadi lebih terjamin.

Pendekatan pencegahan amat penting. Kebanyakan individu hanya mendapatkan nasihat selepas menerima writ saman, sedangkan semakan awal dokumen jaminan dan perjanjian indemniti boleh mengurangkan risiko secara signifikan. Pendekatan proaktif membolehkan risiko peribadi diurus dengan lebih baik dan keputusan komersial dibuat dengan yakin.

Isu penjamin bukan sekadar persoalan teknikal undang-undang, tetapi mencerminkan tahap literasi kewangan dan tadbir urus perniagaan. Membantu keluarga atau rakan kongsi ialah nilai murni, namun perlindungan diri juga tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Keputusan yang dibuat tanpa memahami implikasi kontrak boleh membawa kesan jangka panjang terhadap kehidupan peribadi dan operasi syarikat.

Sebagai pengamal undang-undang, saya percaya bahawa kefahaman tentang risiko menjadi penjamin ialah benteng terbaik untuk melindungi kepentingan diri. Tandatangan bukan sekadar dakwat di atas kertas, tetapi komitmen yang mengikat dan mampu menentukan masa depan kewangan seseorang. Fahami risiko sebelum bersetuju menjadi penjamin dan uruskan tanggungjawab dengan strategi yang betul agar keghairahan membina perniagaan tidak bertukar menjadi beban liabiliti peribadi yang berpanjangan.

*Dr Sharen Alzalip ialah Peguam & Pengasas Tetuan Sharen Alzalip & Co.