JOHOR BAHRU – Sebanyak 12 akaun TikTok dikesan disyaki digunakan sindiket penipuan yang menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan meniru wajah serta suara Exco Johor bagi memperdayakan orang ramai berkaitan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, akaun terbabit dipercayai dikendalikan dari luar negara dan tidak mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan kerajaan negeri.
Menurut beliau, empat akaun dikesan menggunakan wajah dan suara Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat negeri, Khairin-Nisa Ismail, manakala selebihnya mempromosikan BKJ secara tidak sah dengan tujuan mencuri maklumat peribadi.
"Laporan polis daripada Khairin-Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom telah diterima pada 20 Februari lalu.
"Siasatan awal mendapati akaun-akaun itu dipercayai menyebarkan maklumat tidak benar dan bukan merupakan akaun rasmi milik Khairin-Nisa.
"Akaun-akaun ini sedang dalam penelitian lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar serta penglibatan mana-mana pihak dalam aktiviti berunsur penipuan atau penyebaran maklumat palsu," katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
Dalam pasa itu, Ab Rahaman tidak menolak kemungkinan kewujudan pelbagai akaun itu merupakan satu modus operandi terancang yang menggunakan teknologi Al bagi meniru personaliti individu berprofil tinggi untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai.
"Polis percaya kaedah tersebut digunakan untuk mencuri maklumat peribadi dan data iaitu apabila mereka yang berdaftar sebelum scammer akan menggunakan nombor telefon, nombor kad pengenalan serta nombor akaun.
"Apabila dapat nombor telefon dia akan buat panggilan telefon untuk scam dan nombor akaun bank pula, akan digodam untuk keluarkan duit," katanya.
Jelas beliau, scammer menggunakan logo BRK bagi meyakinkan orang ramai menekan pautan diberikan dan memberi gambaran seolah-olah semua rakyat Johor layak mendapat BKJ.
Menurutnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun terlibat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan penipuan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian, katanya.
"Orang ramai perlu sentiasa berwaspada, membuat semakan sebelum percaya dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang meragukan.
"Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor," tambahnya.