GEORGE TOWN - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret 3 di sini terhadap pertuduhan menyamar sebagai anggota polis di sebuah pangsapuri pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Khairul Mohamed Rafil, 32 dan Mazuan Mohd Nasir, 45 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Khairul yang bekerja sebagai pemandu lori dan Mazuan sebagai mekanik motosikal telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu sebagai anggota polis dengan mengetahui mereka tidak berjawatan demikian.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan lif Blok 51, Relau pada jam 11.24 malam, 16 Februari lalu.
Oleh demikian, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala kedua-dua tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, Hazarul Iqram Rozahan.
Ahmad Danial menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh.
Dalam rayuannya, Hazarul memohon jaminan dikurangkan berikutan kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.
"Bagi Muhamad Khairul, dia berusia 32 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,800 sebulan. Masih bujang dan menanggung lima orang ahli keluarga.
"Sementara Mazuan pula, dia berusia 45 dan bekerja sebagai mekanik motosikal dengan gaji bulanan RM1,800. Sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang mana, jumlah tanggungannya adalah lima orang.
"Mohon satu jaminan yang minimum daripada pihak mahkamah," katanya.
Nadratun kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 26 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh turut menghadapi satu pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di sini.
Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka telah melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu sebuah Iphone 11 Pro Max dan sebuah beg silang milik Muhammad Anas Rosli, 31 dan sebuah Iphone 13 Pro Max milik Siti Noor Asmat Hamzah,27.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan waktu yang sama.
Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Darrshini menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu saksi pendakwaan serta mangsa dan perlu melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis terdekat.
Kedua-duanya yang tidak diwakili peguam memohon agar wang jaminan dikurangkan berikutan mempunyai tanggungan keluarga selain berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Irwan menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain membenarkan kedua-dua syarat tambahan yang dikemukakan Darrshini.
Kes ditangguhkan sehingga 6 April depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Muhammad Nurazmi Azizan, 35 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyamar sebagai anggota polis pada minggu lalu.
Tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Nadratun di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu sebagai anggota polis dengan mengetahui dia tidak berjawatan sedemikian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Nasi Kandar Makbul, Relau pada jam 1 pagi, 17 April lalu.
Oleh demikian, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ahmad Danial menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.
Hazarul kemudiannya memohon jaminan dikurangkan kerana Muhammad Nurazmi merupakan penanggung keluarga tunggal dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
"Dia sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Jumlah tanggungan keluarganya berjumlah lima orang.
"Mohon satu jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh," ujarnya.
Nadratun menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes sehingga 26 Mac untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.