KUANTAN - Pasangan suami isteri pencinta kucing di sini sanggup berkongsi rumah dengan hampir 100 kucing jalanan yang diselamatkan.
Mohammad Arvin Abdullah, 43, atau lebih mesra dengan panggilan Boy bersama isterinya, Nor Iwani Shahudin, 38 kini menjadikan sebahagian ruang rumahnya di Taman LKNP, Bukit Setongkol di sini sebagai 'shelter' untuk merawat dan menjaga haiwan tersebut sejak enam tahun lalu.
Bukan setakat di luar rumah malah bahagian bawah rumah teres dua tingkat itu itu turut ditempatkan sangkar-sangkar kucing yang dijaga mereka.
Pekerja kedai aksesori kenderaan itu berkata, usahanya bermula dengan menyelamatkan 28 ekor kucing sakit yang ditemui di jalanan di beberapa lokasi sekitar Kuantan.
Sejak itu, usaha mereka tidak pernah terhenti sehingga kira-kira 500 ekor kucing telah diselamatkan dalam tempoh enam tahun itu.
"Kebanyakan kucing-kucing diselamatkan dalam pelbagai keadaan termasuk anak kucing yang tiada ibu, kucing cedera, cacat dan berpenyakit.
"Kucing bermasalah yang ditemui di jalanan kami selamatkan dengan membawa pulang ke rumah untuk dirawat dan dijaga manakala kucing jalanan sihat, kami berikan makanan sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Boy mengakui, menyelamatkan kucing-kucing jalanan menuntut pengorbanan yang tinggi bukan sahaja terpaksa berkongsi satu-satunya rumah dimiliki malah mereka menggunakan sebahagian pendapatan setiap bulan untuk kos penjagaan haiwan tersebut.
"Kos penjagaan bukan sedikit. Kami terpaksa membelanjakan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan termasuk makanan, pasir untuk berak kencingnya, rawatan dan keperluan lain.
"Agak buntu juga memandangkan saya akan berhenti kerja akhir bulan ini atas sebab tertentu.
"Lepas ini mungkin bergantung dengan pendapatan sebagai mekanik sambilan selain gaji isteri sebagai pekerja di sebuah klinik swasta di sini untuk menampung keperluan penjagaan kucing-kucing ini," ujarnya.
Bagaimanapun, pasangan tanpa anak ini mendapat sokongan melalui sumbangan makanan kucing daripada beberapa pihak termasuk rakan-rakan.
Menurutnya lagi, selain perbelanjaan, masa juga terpaksa dikorbankan hinggakan tiada istilah cuti panjang dalam kalendar kehidupan mereka sejak terjebak dengan kerja sukarela itu.
Boy yang juga seorang mualaf berkata, tugas mengurus kucing di rumah bermula jam 9 pagi dengan memberi makan, bersih sangkar dan kawasan selain proses rawatan kucing-kucing sakit.
"Pada waktu malam selepas kerja, kami keluar memberi makan kucing dan anjing jalanan di beberapa lokasi sekitar Kuantan.
"Begitulah rutin kami setiap hari. Kalau pergi ke mana-mana walaupun pulang kampung, terpaksa balik hari demi kucing-kucing ini," ujarnya.
Berkongsi cerita menyentuh hati sepanjang mengurus kucing-kucing bermasalah itu, kisahnya menyelamatkan seekor kucing dewasa yang ditemui dalam hujan di Taman Gelora, di sini antara yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, kucing itu ditemui kritikal dipercayai dilanggar kenderaan hingga patah kaki dan tulang rusuk serta mengalami kecederaan serius di kepala.
"Walaupun nampak seolah tiada harapan untuk hidup, saya tetap bawa pulang untuk dirawat.
"Kucing itu berada dalam keadaan koma selama 11 hari namun Alhamdulliah, selepas dirawat kucing itu sembuh sepenuhnya kecuali matanya buta dan kami sempat menjaganya dengan penuh kasih sayang selama 10 bulan sebelum ia mati," katanya.
Sementara itu katanya, walaupun ramai yang menyokong dan menghulurkan bantuan termasuk dari kawan-kawan, dia juga mengakui ada pihak yang mengecam dan mempersoalkannya kerja murni dilakukan itu.
Bagaimanapun dia dan isteri memilih untuk mengabaikan kritikan itu kerana bagi mereka, setiap nyawa berharga walaupun seekor haiwan.
"Allhamdulillah, setakat ini tiada masalah dengan jiran sekeliling sebaliknya mereka memahami usaha yang kami lakukan ini," katanya.
Ujarnya lagi, dalam kerja kebajikan haiwan itu, dia juga sering membantu orang ramai mencari kucing hilang berdasarkan gambar yang diberikan dengan kerjasama rakan-rakan dari komuniti penyelamat kucing jalanan," katanya.