KUANTAN - Istana Pahang menafikan dakwaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan bantuan wang kerajaan kepada orang ramai menerusi media sosial.
Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Istana Pahang memaklumkan telah mengesan kembali penularan beberapa klip video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Al-Sultan Abdullah dan didakwa menawarkan tawaran bantuan kepada rakyat.
Iklan
Iklan
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan,” menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut memaklumkan, Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang di Facebook yang memiliki kira-kira 758,000 orang pengikut ketika ini.
"Di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my,” menurut hantaran itu. - Bernama