Es pisang ijo pikat selera ‘tekak Melayu’

Iklan
Es pisang ijo disediakan Nur Ayu Shahilla diolah resipinya supaya rasanya sesuai dengan selera tempatan.

KUANTAN – Es pisang ijo, juadah unik berasal dari Makassar, Sulawesi, Indonesia kini menjadi pilihan penggemar pencuci mulut di negeri ini sebagai antara menu sajian ketika berbuka puasa.

Keenakan rasanya yang lemak manis dan disajikan secara sejuk menjadikan makanan itu pilihan tepat sebagai menu pencuci mulut.

Iklan
Iklan

Peniaga, Nur Ayu Shahilla Hamdan Shashi, 26, berkata, makanan itu mungkin tidak asing bagi penggemar di sesetengah tempat, namun di sini ia masih jarang ditemui terutama di bazar Ramadan.

Menurutnya, es pisang ijo air tangannya itu pertama kali diperkenalkan dan dijual di Bazar Ramadan Putra Square di sini.

Iklan

“Juadah ini dihasilkan menggunakan pisang yang dibalut dengan adunan tepung berwarna hijau sebelum dikukus.

“Antara jenis pisang yang sesuai digunakan ialah pisang berangan atau abu kerana teksturnya yang lembut dan manis,” katanya.

Iklan

Nur Ayu Shahilla yang berniaga makanan sepenuh masa berkata, pisang tersebut dihidangkan bersama bubur sumsum atau lemak santan, sagu, pulut dan jagung untuk menambahkan variasi rasa serta tekstur.

“Keistimewaan pencuci mulut ini terletak pada kuahnya yang diperbuat daripada campuran sirap berperisa pisang, gula Melaka, susu cair dan susu pekat.

“Untuk versi istimewa, ia ditambah dengan aiskrim kelapa di atasnya,” katanya yang sebelum ini berniaga makanan itu di gerai tepi jalan di Sungai Isap dan jualan but kereta di Taman Kerang di sini.

Ujarnya, selain keenakan rasa, campuran bahan dengan pelbagai warna membangkitkan selera orang ramai untuk menikmatinya.

“Penyediaannya seakan-akan ais batu campur (ABC) kerana dinikmati dalam keadaan sejuk yang memberi kesegaran ketika berbuka puasa,” ujarnya.

Walaupun nama asalnya dikekalkan sebagai es pisang ijo, Nur Ayu Shahilla melakukan sedikit olahan resipi bagi menyesuaikan rasa dengan selera tempatan, khususnya tekak Melayu.

Dia mempelajari cara penyediaan daripada rakan dari Indonesia sebelum melakukan olahan sendiri bagi memastikan rasa dan kualiti memenuhi cita rasa pelanggan di sini.

“Usahanya ini membuahkan hasil apabila hidangan asal Makassar ini mendapat sambutan baik, apatah lagi kerana ia jarang didapati di negeri ini,” katanya yang menjual makanan itu pada harga RM10 hingga RM15 sebekas.