[VIDEO] Tugas Exco, ADUN berjalan seperti biasa - Hanafiah

Iklan

​KUALA TERENGGANU - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengesahkan akan meneruskan tugasnya seperti biasa meskipun berdepan pertuduhan di mahkamah pada Selasa.

​Beliau yang memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Iklan
Iklan

​"Menteri Besar sudah keluarkan arahan tadi untuk saya meneruskan tugas-tugas saya seperti biasa. Insya-ALLAH, kita akan jalankan tanggungjawab ini dan kerja-kerja tidak akan terganggu," katanya ketika ditemui media di sini.

Hanafiah

Iklan

​Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai turut menyatakan kesediaannya untuk meneruskan tradisi bersama komuniti dan media sepanjang bulan Ramadan nanti.

​"Insya-ALLAH saya akan jemput semua berbuka puasa bersama saya nanti, sama seperti kebiasaannya sebelum ini," katanya lagi.

Iklan

​Mengulas mengenai kes yang dihadapinya, Hanafiah menzahirkan rasa syukur kerana perkara itu akhirnya dibawa ke muka pengadilan dan berharap mahkamah dapat mengadili beliau dengan sebaik-baiknya.

​"Saya juga ingin mengajak rakan media dan wartawan untuk hadir semasa perbicaraan nanti bagi mendengar sendiri keterangan saksi-saksi yang akan dihujah oleh peguam saya," katanya.

​Terdahulu, Hanafiah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.

​Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

​Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah pada 15 Ogos 2018.

​Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020.

​Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.

​Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.