SHAH ALAM - Sebanyak RM27 juta kerugian akibat kes penipuan panggilan atau 'phone scam' yang direkodkan pada Januari lalu di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah kerugian itu berdasarkan 481 kes yang diterima pihaknya.
Menurutnya, berdasarkan statistik, 45 peratus mangsa ialah lelaki manakala 55 peratus ialah wanita yang mana sebanyak 75 peratus ialah mereka yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.
"Statistik menunjukkan kadar peningkatan kes sebanyak 46 peratus, manakala jumlah kerugian meningkat sehingga 58 peratus berbanding Januari 2025," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, sindiket phone scam dikesan menggunakan teknik 'caller ID spoofing' bagi memaparkan nombor seolah-olah daripada rangkaian telco tempatan atau agensi sah di Malaysia untuk memperdaya mangsa serta meningkatkan tahap kepercayaan terhadap panggilan yang diterima.
Kata beliau, modus operandi jenayah ini melibatkan panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil agensi penguat kuasa seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah selain institusi kewangan (bank dan insurans) atau agensi kerajaan antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang turut menyamar sebagai pegawai berkuasa dan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka terlibat dalam aktiviti haram seperti pengubahan wang haram, dadah atau hutang cukai.
"Mangsa diugut agar tidak memaklumkan perkara tersebut kepada pihak lain dan akhirnya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang dalam akaun hilang serta gagal menghubungi suspek," katanya.
Jelasnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
"Usah berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi kepada pihak yang tidak disahkan serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan," ujarnya.