SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat dalam kecuaian semasa pengendalian latihan senjata api di Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Wilayah Utara (PLRWU) hingga menyebabkan kecederaan kepada peserta kursus.
EAIC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas aduan kes terbabit.
Menurutnya, seorang peserta Kursus Asas Induksi Pegawai Rela cedera dalam latihan terbabit.
"Penganjuran latihan senjata api oleh PLRWU pada 15 November 2024 didakwa tidak mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah EAIC, siasatan telah dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] dan hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian oleh pegawai Rela yang bertugas sebagai Pegawai Lapang Sasar dan Pegawai Tapak semasa latihan senjata api tersebut dijalankan.
Tambahnya, pihak pengurusan PLRWU tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Ibu Pejabat Rela berhubung insiden tersebut.
"Siasatan EAIC juga mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen dan Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semasa latihan tersebut dijalankan yang mensyaratkan setiap penembak dibantu oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM)," ujarnya.
Tegas EAIC, pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Rela dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat atas kesalahan di bawah perenggan 4(2)(j) kerana cuai dalam menjalankan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [P U (A) 246].
"EAIC turut mengesyorkan pelaksanaan pemurnian dan semakan semula semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengendalian dan latihan senjata api oleh RELA bagi memastikan ia sejajar dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.