KUALA TERENGGANU - Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 15 Ogos 2018 di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexxe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang mempunyai dua isteri dan 13 anak didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Hanafiah diikat jamin sebanyak RM30,000 dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Terengganu setiap bulan selewat-lewatnya pada 5 hari bulan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, mahkamah tidak mengarahkan pasport tertuduh diserahkan, namun pihak pendakwaan boleh mengemukakan permohonan mengambil pasport sekiranya tertuduh gagal hadir ke mahkamah pada mana-mana tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.
Mahkamah menetapkan 12 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.